KUANTAN: Persembahan Sri Pahang FC masih hambar walaupun berjaya mencatat kemenangan 1-0, sekali gus mengutip tiga mata penuh semasa bertemu Kelantan United FC di halaman sendiri pada saingan Liga Super semalam.

Ketua Jurulatihnya Fandi Ahmad berkata antara punca 'aksi kurang menjadi' anak buahnya ialah keletihan sehingga menyebabkan mereka kurang motivasi, selain bersifat terlalu yakin apabila berhadapan pasukan di tangga tercorot.

"Secara keseluruhan saya tidak berpuas hati dengan persembahan malam ini (malam tadi)...apa yang saya puas hati cuma kita berjaya mengutip tiga mata penuh. Itu sahaja.

"Pemain dilihat terlalu mengikut rentak permainan pasukan lawan tetapi nasib baik (ada) perubahan lebih positif pada babak kedua iaitu kita tidak putus asa mencari gol dan akhirnya dapat kemenangan," katanya pada sidang media selepas perlawanan di Stadium Darul Makmur.

Pada perlawanan itu, kedua-dua pasukan mempamerkan corak perlawanan yang hambar dengan hanya beberapa percubaan dapat dilakukan sebelum pemain pertahanan import Tok Gajah, Stefano Brundo memecahkan kebuntuan gol pada minit ke-93, seminit sebelum masa tambahan berakhir.

Selain itu, Fandi berkata kepincangan juga dikenal pasti di bahagian tengah Sri Pahang sehingga mengakibatkan mereka banyak kehilangan bola sekali gus mensia-siakan peluang untuk melancarkan serangan berbahaya ke kubu lawan.

Sementara itu pengendali Kelantan United Nazrulerwan Makmor pula menyifatkan kesilapan pemain yang kurang fokus pada minit-minit akhir perlawanan mengakibatkan pasukannya dihukum dengan kekalahan.

"Kami bertahan dan menyerang dengan baik sepanjang 90 minit, tetapi disebabkan kurang konsentrasi pada waktu tambahan kita dihukum oleh Sri Pahang yang lebih berpengalaman," katanya.

Walaupun menyifatkan anak buahnya sudah mempamerkan perkembangan positif pada setiap perlawanan, Nazrulezwan akur bahawa pengukur sebenar kejayaan tetap berbalik kepada kemenangan dan kutipan mata yang diperoleh.

-- BERNAMA