ARAB SAUDI mencerahkan peluang untuk meraih tiket ke Piala Dunia 2018 di Russia selepas merakam kemenangan selesa 3-0 ke atas Thailand dalam aksi Kumpulan B, kelayakan Piala Dunia Zon Asia di Bangkok, semalam.

Jepun turut kembali ke landasan kemenangan untuk mengikut jejak itu apabila menewaskan Emiriah Arab Bersatu (UAE) 2-0.

Gol sulung Yuya Kubo di pentas antarabangsa dan Yasuyuki Konno memastikan anak buah Vahid Halilhodzic menolak Australia ke tangga ketiga dan dipisahkan menerusi perbezaan jaringan dengan pendahulu, Arab Saudi.

Kekalahan itu meletakkan UAE di tangga keempat, sekaligus menjadikan aksi di laman sendiri ketika menanti kunjungan Australia pada minggu depan semakin mendebarkan.

Socceroos kini terdesak untuk meraih kemenangan susulan keputusan seri berturut-turut dalam empat perlawanan terakhir mereka dan terbaru, diikat Iraq 1-1.

Skuad kendalian Ange Postecoglou itu semakin goyah di sebalik mencatat dua kemenangan dalam aksi pembukaan ke atas Iraq dan UAE.

Dalam saingan Kumpulan A, jaringan Yu Dabao membantu China melakar kemenangan mengejut 1-0 ke atas Korea Selatan di Stadium Helong untuk menamatkan penantian kemenangan sulung mereka dalam kempen kelayakan.

Namun, kedudukan Korea di tangga kedua tidak terjejas ekoran pesaing terdekat, Uzbekistan, turut tewas 1-0 kepada Syria.

Kemenangan tipis Iran menerusi jaringan tunggal Mehdi Taremi sudah memadai buat mereka untuk terus unggul di puncak dengan 14 mata, empat mata mengatasi Korea serta meletakkan Qatar terus menghuni tangga tercorot.

Dua pasukan teratas akan mara secara automatik ke pusingan akhir di Russia manakala pasukan di tangga ketiga pula perlu mengharungi pusingan keempat.