ARSENAL 2 LEICESTER 0

Mikel Arteta mengakui Arsenal di kedudukan yang baik untuk menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam kelompok empat teratas.

Bagaimanapun, dia mengingatkan bahawa betapa masih banyak yang perlu diperjuangkan tuan rumah itu selepas menewaskan Leicester City 2-0, awal pagi tadi.

Jaringan Thomas Partey dan sepakan penalti Alexandre Lacazette memberikan The Gunners kemenangan kelima berturut-turut liga buat kali pertama sejak Mei 2021.

Sejak tewas kepada Chelsea dalam perlawanan pembukaan musim ini pada Ogos lalu, barisan kendalian Arteta itu hanya tewas sekali daripada 13 perlawanan liga terakhir mereka musim ini (10 menang dan dua seri) yang menyaksikan hanya Manchester City pernah menewaskan mereka di Stadium Emirates.

Kemenangan itu juga melonjakkan The Gunners kembali ke tangga keempat selain memiliki kelebihan tiga perlawanan untuk menjarakkan diri dengan pasukan di tangga kelima, Manchester United, yang mengekori mereka dengan satu mata.

Bercakap kepada Sky Sports selepas kemenangan terbabit, Arteta memuji prestasi menyerang pasukannya sambil memberi amaran bahawa pasukannya tidak boleh menikmati kejayaan mereka itu terlalu lama kerana sekali lagi bakal berdepan tugas getir Khamis ini.

“Tanpa mempamerkan persembahan jitu, kami tidak akan dapat mengalahkan Leicester,” kata pengurus berusia 39 tahun itu.

"Mereka sebuah pasukan yang bagus dan menjadikan perlawanan ini sukar. Ini adalah satu kemenangan besar buat kami.

“Saya gembira dengan pemahaman pemain tentang apa yang perlu dilakukan.

"Apabila mereka mula padat di kawasan tertentu, kami faham bagaimana perlu menyelesaikannya. Saya juga gembira dengan pergerakan dan hubungan antara pemain, ia hebat."



Menurutnya lagi: "Realitinya dalam bola sepak ini ialah apabila anda mula meramalkan apa yang mungkin berlaku, tiada siapa yang akan dapat menekanya dengan tepat. Satu-satunya perkara yang boleh kami kawal ialah prestasi kami.

"Kami berada di kedudukan yang baik tetapi masih banyak yang perlu diperjuangkan.

"Perlawanan kami yang seterusnya ialah berdepan Liverpool. Kami tahu betapa sukarnya ia, tetapi kami akan cuba memenanginya."