KUALA LUMPUR: Arena sukan angkat berat negara seakan-akan tidak lekang dengan kontroversi apabila seorang atlet wanita didapati positif doping, Oktober lepas.

Difahamkan, atlet muda berusia 22 tahun itu didapati positif bahan terlarang jenis sibutramine pada Kejohanan Angkat Berat Kebangsaan yang berlangsung di Rompin, Pahang.

Pengarah Agensi Anti Doping Malaysia (ADAMAS) Azura Abidin yang mengesahkan perkara berkenaan memaklumkan, pihaknya telah mengemukakan laporan lengkap kepada Setiausaha Kehormat Persatuan Angkat Berat Malaysia melalui emel pada Selasa lepas (30 Nov).

"ADAMAS hanya akan melaksanakan sesi pendengaran sekiranya atlet tersebut memilih untuk dibicarakan," katanya ketika dihubungi Bernama malam tadi.

Pada September lepas, arena sukan negara digemparkan dengan isu doping melibatkan dua atlet angkat berat kebangsaan sehingga menyaksikan PABM dan Majlis Sukan Negara (MSN) bersetuju membubarkan skuad sedia ada.

Keputusan pembubaran skuad berkenaan mengakibatkan kesemua empat jurulatih dan 13 atlet terlibat diberikan notis penamatan kontrak berkuat kuasa 1 Nov lepas.

-- BERNAMA