TANJUNG MALIM: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang kini bergelar pensyarah di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Surat tawaran jawatan Pensyarah Universiti Gred DS45/51/53 itu diserahkan sendiri oleh Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Md Amin Md Taff kepada pemenang pingat perak Olimpik Tokyo itu dalam satu majlis ringkas di Kampus Sultan Azlan Shah UPSI, Proton City di sini pada Isnin.

Dalam majlis itu, Azizulhasni turut menerima dokumen berbentuk surat tawaran biasiswa melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Doktor Falsafah.

Md Amin berkata, tawaran berkenaan merupakan penghargaan pihak UPSI atas pencapaian cemerlang atlet Olimpik yang melakar kejayaan dalam sukan berbasikal trek di peringkat antarabangsa itu.