BAC 2023: Tze Yong kandas, Wei Chong-Kai Wun mara

Bernama
April 26, 2023 09:49 MYT
Ini merupakan kali pertama Tze Yong tewas kepada pemain ranking ke-20 dunia itu, selepas menewaskan Cheuk Yiu di Terbuka Singapura pada Julai lepas. -Gambar fail/BAM
KUALA LUMPUR: Perjalanan pemain perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong di Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2023 di Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE), terhenti pada pusingan pertama selepas tewas kepada pemain Hong Kong, Lee Cheuk Yiu, hari ini.
Pemain ranking ke-25 dunia itu ditunjukkan jalan keluar apabila tewas 17-21, 18-21 dalam pertarungan yang berlangsung selama 42 minit di Dewan Tertutup Rashid bin Hamdan, Kelab Al Nasr.
Ini merupakan kali pertama Tze Yong tewas kepada pemain ranking ke-20 dunia itu, selepas menewaskan Cheuk Yiu di Terbuka Singapura pada Julai lepas.
Cheuk Yiu dijadual bertemu pemain ke-10 dunia, Shi Yu Qi dari China pada pusingan kedua esok, yang mendapat laluan mudah di pusingan pertama apabila pemain pilihan pertama kejohanan dari Indonesia, Jonatan Christie menarik diri daripada meneruskan saingan.
Sementara itu, beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun mempamerkan aksi mantap dengan menumpaskan P.S Ravikrishna-Sankar Prasad Udayakumar dari India, 21-12, 21-17, dalam pertarungan yang berlangsung selama 28 minit.
#Kejohanan Badminton Asia 2023 #Ng Tze Yong #Lee Cheuk Yiu #Dewan Tertutup Rashid bin Hamdan