Badminton Berpasukan Campuran Remaja Dunia: Malaysia kalahkan Austria 5-0

Bernama
September 26, 2023 04:27 MYT
Skuad negara berjaya memperoleh mata pertama menerusi beregu campuran Low Han Chen-Chong Jie Yu yang menewaskan Jakob Rinner-Sarah Dlapka 21-12, 21-7. - Foto BAM
KUALA LUMPUR: Malaysia meneruskan rentak cemerlang pada Kejohanan Berpasukan Campuran Remaja Dunia 2023 di Spokane, Amerika Syarikat apabila menewaskan Austria 5-0 dalam aksi kedua Kumpulan C pada Isnin.
Skuad negara berjaya memperoleh mata pertama menerusi beregu campuran Low Han Chen-Chong Jie Yu yang menewaskan Jakob Rinner-Sarah Dlapka 21-12, 21-7 dalam perlawanan selama 20 minit di The Podium.
Perseorangan lelaki Muhammad Faiq Haziq menepati ramalan apabila mudah mengutip mata kedua selepas mengalahkan Pascal Cheng 21-15, 21-9.
Perseorangan wanita Siti Zulaikha Muhammad Azmi juga tidak mempunyai masalah untuk menyumbang mata ketiga pasukan apabila berjaya menewaskan Anja Rumpold 21-13, 21-7 dalam masa 21 minit.
Skuad remaja negara terus unggul mengutip mata keempat menerusi Kang Khai Xing-Aaron Tai yang menang mudah ke atas pasangan Ilija Nicolussi-Jakob Rinner 21-6 dan 21-10.
Beregu wanita Ong Xin Yee-Carmen Ting melengkapkan kemenangan Malaysia selepas mengetepikan cabaran Lena Krug-Chiara Rudolf 21-5, 21-9.
Terdahulu, skuad remaja negara memulakan kempen kejohanan dengan langkah kanan apabila mengalahkan Poland 4-1.
Empat mata berkenaan diperoleh menerusi gandingan beregu campuran remaja negara Bryan Jeremy Goonting-Chan Wen Tse, perseorangan lelaki negara Eogene Ewe, perseorangan wanita Ong Xin Yee dan beregu lelaki Bryan Jeremy- Aaron Tai.
Bagaimanapun, beregu wanita Chan Wen Tse-Chong Jie Yu terlepas peluang menyumbangkan mata apabila tewas kepada Anna Czuchra-Joanna Podedworny, 19-21, 21-11, 18-21.
Malaysia seterusnya akan bertemu dengan Latvia pada perlawanan ketiga Kumpulan C hari ini.
-- BERNAMA
#Kejohanan Berpasukan Campuran Remaja Dunia #pasukan malaysia #Amerika Syarikat #Low Han Chen #Chong Jie Yu #beregu