PEMAIN perseorangan lelaki negara, Ng Tze Yong meneruskan rentak kemenangan apabila menempah slot separuh akhir Terbuka Australia di Sydney pada Sabtu.

Berlangsung di Arena Sukan Sydney, pemain di ranking ke-33 dunia itu beraksi cemerlang mudah membenam pemain tuan rumah, Nathan Tang 21-9, 21-7 dalam tempoh 29 minit pada Jumaat.

 

Kejayaan itu meletakkan Tze Yong di landasan terbaik untuk merealisasikan misi berada dalam kelompok 32 pemain terbaik dunia menjelang akhir musim ini.

Menerusi pencapaian tersebut membolehkan pemain berusia 22 tahun itu beraksi di kejohanan bertaraf Super 1000 musim depan.

Bagaimanapun perjalanan Tze Yong dalam saingan separuh akhir bukan mudah apabila bakal berdepan cabaran pemain ke-19 dunia, Lu Guang Zu.

Pemain dari China itu mara selepas menewaskan pemain Indonesia, Leonardo Imanuel Rumbay 21-12, 21-9 dalam satu lagi perlawanan suku akhir.

Dalam pada itu, nasib berbeza menimpa pemain perseorangan profesional wanita negara, Goh Jin Wei setelah tewas kepada pemain Thailand, Pornpawee Chochuwong.

Pemain berusia 22 tahun itu terpaksa akur dengan keputusan 11-21, 13-21 sekali gus menutup peluang melangkah ke separuh akhir. -- Sinar Harian