Badminton Terbuka China: Aaron-Wooi Yik tundukkan juara dunia

Astro Arena
September 9, 2023 14:58 MYT
Beregu nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bergaya melangkah ke final Terbuka China mengatasi juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Sung Jae. - Foto Facebook BAM
BEREGU nombor satu negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bergaya melangkah ke final Terbuka China mengatasi juara dunia dari Korea Selatan, Kang Min Hyuk-Seo Sung Jae, sebentar tadi.
Bertemu lawan yang mengatasi mereka di separuh akhir Kejohanan Dunia, Min Hyuk-Sung Jae, Aaron- Wooi Yik, melangkah ke separuh akhir dengan kemenangan ke atas rakan senegara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin.
Kemas dengan corak permainan yang cemerlang, Aaron-Wooi Yik tenang mendahului perlawanan sebelum menoktahkan kemenangan 21-18 di set pertama.
Dalam set kedua, wakil Korea bermula garang dengan misi membawa perlawanan ke set penentuan, namun kualiti serta tumpuan yang dilakukan Aaron-Wooi Yik memastikan mereka kemenangan 21-17 sekali gus melangkah ke final.
Wakil China yang berada di ranking ketiga dunia, Liang Weikeng-Wang Chang bakal menjadi halangan terakhir buat Aaron-Wooi Yik dalam misi memburu kejuaraan dalam di Bumi China.
#badminton #Terbuka China #beregu nombor satu negara #Aaron Chia-Soh Wooi Yik