KUALA LUMPUR: Beregu lelaki profesional negara Ong Yew Sin-Teo Ee Yi menceriakan kem badminton negara apabila mengesahkan tempat ke suku akhir kejohanan badminton Terbuka Malaysia 2022 di Arena Axiata hari ini.

Lebih manis, pasangan kesepuluh terbaik dunia itu menewaskan juara Olimpik dari Taiwan Lee Yang-Wang Chi-Lin untuk kali kedua selepas melakukannya pada saingan suku akhir Kejohanan Dunia tahun lepas.

Pada aksi pusingan kedua yang meraih sokongan gemuruh daripada penonton di stadium, pasangan negara memerlukan 41 minit sebelum berjaya menundukkan pasangan Taiwan yang menduduki ranking keempat dunia 21-17, 21-18.

Ketika ditemui pemberita, Yew Sin berkata sokongan padu daripada penyokong telah membakar semangat mereka untuk meraih kemenangan mudah ke atas lawan tanpa diheret ke set penentuan.

"Syukur kami berjaya hari ini. Kami tidak meletakkan harapan tinggi sebelum perlawanan hari ini sebaliknya merancang mengutip mata demi mata dan berikan saingan terbaik," katanya.