Badminton Terbuka Malaysia: Yew Sin-Ee Yi teruskan kemaraan ke suku akhir

Astro Arena
Januari 11, 2024 09:56 MYT
Aksi agresif dan mendebarkan dari regu lelaki Negara Ong Yew Sin (kiri) dan Teo Ee Yi (kanan) ketika menentang regu pilihan keempat kejohanan dari Denmak Kim Astrup dan Anders Skaarup Rasmussen. - Foto Bernama
BEREGU lelaki negara, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi, terus membawa cabaran negara selepas melakar kemenangan ke atas wakil Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen, dalam Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Axiata Arena, Bukit Jalil sebentar tadi.
Yew Sin-Ee Yi yang masih segar dengan kemenangan ke atas wakil Chinese Taipei, Lu Ching Yao dan Yang Po Han 21-14 dan 21-15, mereka turun dalam perlawanan hari ini berdepan lawan dari Denmark, Kim Astrup-Anders Skaarup Rasmussen.
Permulaan set pertama yang cukup bertenaga membuktikan kemampuan beregu negara itu dalam mendominasi seluruh perlawanan apabila mudah mendahului 14-8 sebelum menoktahkan kemenangan 21-10.
Skrip berbeza dalam set kedua, menyaksikan corak permainan wakil Denmark itu gagal dikekang Ee Yi-Yew Sin, apabila mata demi mata berjaya dipungut sebelum mengheret perlawanan ke set penentuan dengan kemenangan 21-11.
Yew Sin-Ee Yi terus diasak lawan sejak permulaan set penentuan, ketinggalan 12-8 sebelum melakar kebangkitan mengejar permainan sebelum terikat 20-20.
Kedua-dua pasangan saling mengutip mata, sebelum Yew Sin-Ee Yi menoktahkan kemenangan 24-22 sekaligus melangkah ke suku akhir.
*Artikel asal yang disiarkan di Stadium Astro
#Badminton Terbuka Malaysia #beregu lelaki negara #Ong Yew Sin #Teo Ee Yi #beregu Denmark #mara ke separuh akhir