KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Mohd Azizulhasni Awang sifatkan tindakan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terhadap Lee Zii Jia adalah tidak relevan.

Berkongsi pandangannya di media sosial, Azizulhasni berkata kedua-dua pihak harus duduk semeja dalam mencari penyelesaian terbaik.

"Hukuman dari BAM pula bagi saya tidak relevan dan kedua-dua pihak seharusnya duduk semeja berbincang seperti ayah dan anak untuk mencari titik tengah dalam isu ini," katanya.


SEMUA BERHUBUNG KONFLIK ZEE JIA-BAM DI SINI 



Pada Sabtu, BAM memutuskan untuk tidak mendaftarkan Zii Jia yang juga juara Seluruh England 2021 menyertai mana-mana kejohanan antarabangsa selama dua tahun berkuatkuasa 18 Januari lalu susulan keputusannya untuk meninggalkan badan induk itu bagi bergerak secara profesional.

BAM turut mengenakan tindakan sama ke atas bekas juara remaja dunia perseorangan wanita dua kali, Goh Jin Wei berkuat kuasa 31 Oktober 2021.

Berkongsi pandangan peribadi beliau, Mohd Azizulhasni berkata seseorang atlet wajar bergerak secara profesional jika mahu memajukan karier dalam bidang sukan.

"Kalau ditanya saya, sudah tentu untuk pergi jauh dalam karier sukan adalah bagus untuk seseorang atlet tersebut bergerak secara profesional tetapi dalam masa yang sama tidak melupakan tanggungjawab kepada pasukan kebangsaan," ujarnya.

Malah, beliau turut akui mewakili beberapa  pasukan professional untuk sesetengah perlumbaan seperti Bike Technologies Australia (2007-2009), Sime Darby Pro-Track Team (2009-2016), CIMB Pro-Cycling Team (2017-2018) dan Team Azizul dari 2019 sehingga kini.