PETALING JAYA: Ketua jurulatih kebangsaan Kim Pan Gon berkata jika beliau berjaya membawa Malaysia ke Piala Asia, ia akan menjadi penghormatan terbesar dalam karier kejurulatihannya.

Bagaimanapun, Pan Gon berkata sekiranya berjaya membawa pasukan negara ke kejohanan berprestij bola sepak Asia itu, ia bukanlah disebabkan beliau seorang tetapi semua pihak yang bekerja keras membangunkan arena bola sepak di Malaysia.

"Saya mempunyai pencapaian yang baik untuk diri sendiri tetapi jika layak ke Piala Asia, ia semestinya satu penghormatan kepada saya tetapi ia bukan disebabkan apa yang saya lakukan tetapi rakan bola sepak yang bekerjasama.

"Jadi, jika kita capai (sasaran ke Piala Asia), saya fikir ia satu penghormatan kepada bola sepak Malaysia juga," katanya pada sidang media praperlawanan menjelang aksi Kumpulan E Kelayakan Piala Asia 2023 antara Malaysia dan Bangladesh di sini hari ini.

Pada masa sama, jurulatih warga Korea Selatan berusia 53 tahun itu mengakui Malaysia mempunyai skuad terbaik pada masa ini dan amat menghormati profesionalisme dan kemampuan skuad pemain Harimau Malaya.

"Saya percaya mereka (pemain) layak untuk berada (di Piala Asia), tetapi kini kita hampir di penghujung kempen kelayakan, saya harap mereka boleh melakukan sesuatu yang baik untuk peminat bola sepak Malaysia dan mengharumkan nama negara," katanya.

Malaysia akan bertemu Bangladesh pada perlawanan terakhir kumpulan di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok, dengan pasukan tuan rumah menyasarkan tiga mata untuk mencerahkan peluang mereka layak ke Piala Asia.

Menjelang pertembungan itu, Pan Gon berkata secara keseluruhan Bangladesh merupakan pasukan yang kuat serta mampu memberikan persembahan menarik serta mencipta peluang menjaringkan gol berbahaya.

Beliau berkata anak buahnya menghormati keupayaan skuad 'Bengal Tigers' itu tetapi akan berhadapan perlawanan itu dengan semangat dan keyakinan tinggi untuk memburu kemenangan.

"Kami tahu betapa pentingnya perlawanan ini, semua orang tahu tiada perkara seperti perlawanan yang mudah atau tidak menghormati pasukan lain," katanya sambil menegaskan bahawa pasukannya mengutamakan tiga mata berbanding jumlah gol yang dijaringkan.

Selepas dua perlawanan, Bahrain mendahului Kumpulan E dengan enam mata manakala Malaysia dan Turkmenistan masing-masing di kedudukan kedua dan ketiga dengan tiga mata manakala Bangladesh di tangga terbawah tanpa sebarang mata. Hanya juara kumpulan dan lima naib juara terbaik akan layak ke Piala Asia 2023.

Berdasarkan ranking lima naib juara teratas selepas dua perlawanan, Malaysia berada di kedudukan terakhir manakala Thailand, Kyrgyzstan dan India masing-masing di kedudukan teratas dengan enam mata dan Filipina (empat mata) di tempat keempat.

-- BERNAMA