SHAH ALAM: Membaik pulih atau menaik taraf fasiliti gelanggang futsal sedia ada antara yang akan dipertimbangkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi peruntukan disalurkan kerajaan dalam Belanjawan 2023.

Timbalan Menterinya Adam Adli Abdul Halim berkata KBS memerlukan sedikit masa untuk proses meneliti dan mengenal pasti fasiliti sukan itu bagi memastikan ia mudah diakses bukan sahaja buat atlet negara, malah kepada orang awam.

"Gelanggang futsal ini ada di mana-mana, cuma adakah ia milik kerajaan atau swasta. Kita akan cuba kenal pasti fasiliti kerajaan dalam tahun ini bagi membolehkan gelanggang itu digunakan secara optimum. Bagi saya fasiliti baharu (membina gelanggang futsal) bukan keperluan sekarang.

"Paling mustahak ialah memperbaiki (dan menaik taraf) fasiliti sedia ada supaya boleh dimanfaatkan semua pihak. Contohnya, di sesetengah daerah itu ada hingga tiga, empat gelanggang futsal tapi satu sahaja boleh guna, ada yang sampai tidak boleh digunakan langsung," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis perasmian Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2023 di Kompleks Sukan Negara Shah Alam, hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2023 pada Jumaat lepas, memaklumkan kerajaan menyediakan peruntukan RM324 juta untuk menambah baik program latihan dan kemudahan sukan untuk manfaat semua atlet termasuk atlet para.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) Datuk Seri Rosmadi Ismail optimis kehadiran beberapa pasukan baharu pada MPFL 2023 mampu merancakkan saingan liga tersebut, sekali gus meningkatkan nilai komersial sukan berkenaan di negara ini.

Beliau memaklumkan antara muka baharu dalam saingan MPFL musim ini ialah pasukan Johor Darul Ta'zim, Sabah dan PFA Odin Sarawak.

Kejohanan tersebut melibatkan 14 pasukan dan dibahagikan kepada dua kumpulan, masing-masing tujuh pasukan dalam Kumpulan A dan B.

Saingan itu, yang menggunakan format liga dua pusingan di venue pilihan pasukan bermula 18 Feb lepas hingga 5 Ogos.

-- BERNAMA