KEDAH berjaya menghampakan impian skuad berbasikal pecut berpasukan wanita elit Terengganu yang diketuai Nur Aisyah Zubir untuk merangkul pingat emas Kejohanan Kebangsaan, pada Selasa.

Selangor pula mengatasi Pulau Pinang dalam perebutan gangsa dalam kejohanan di Velodrom Nilai itu.

Bagaimanapun, Nur Aisyah selaku pemenang tujuh emas Sukan Malaysia (Sukma) Perak pada 2018 menebus kekecewaan menerusi acara omnium 20km dengan mengutip keseluruhan 154 mata.

"Sudah lama saya tidak berlumba jadi kami tidak tahu persediaan masing-masing selain kekangan COVID-19, " kata pemenang itu.

Dalam omnium lelaki elit 25km pula, persaingan cukup sengit dan kemenangan akhirnya berpihak kepada pelumba Johor, Zulhelmi Zainal.

Johor meneruskan penguasaan mereka dalam acara pecut berpasukan menerusi adik kepada Shah Firdaus Sahrom iaitu Ridwan Sahrom yang beraksi di samping Amar Danial dan Estiq Faiq Eiszaham bagi mengetepikan cabaran Perak dalam saingan final.

"Saya berbangga dengan prestasi sendiri dan pasukan.

"Kami berharap dapat muncul juara untuk edisi kali ini," kata Ridwan.

Gangsa milik PDRM selepas menumbangkan Kelantan.

Sementara itu, tiga lagi acara menjadi tumpuan esok apabila bakal melibatkan pelumba elit negara.