PEMAIN tengah Johor Darul Ta'zim (JDT), Safiq Rahim, mengambil sikap mengunci mulut berhubung keputusannya untuk bersara daripada pasukan kebangsaan.

Safiq, menerusi kenyataan di laman sosial Johor Southern Tigers (JST), mengumumkan persaraan daripada bola sepak antarabangsa.

Kenyataan itu hadir sejam selepas seorang lagi pemain JDT, Aidil Zafuan Abdul Radzak, mendahului keputusan yang sama.

Safiq ketika ditemui sebaik tamat perlawanan dengan PKNS FC dalam saingan Piala Malaysia, malam tadi, bagaimanapun enggan mengulas keputusannya itu.

Aidil pula tidak tersenarai dalam kesebelasan utama dan kelibatnya hanya kelihatan di tempat duduk penonton.

Percubaan Nadi Arena untuk mendapatkan maklum balas lanjut daripada JST juga tidak membuahkan hasil.

"Saya tidak tahu. Saya tidak berani nak cakap," kata Setiausaha Kehormat Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Kapten Mohd Fahmy Yahya.

"Saya tak boleh ulas. Saya tak terlibat kerana kerja saya dalam bidang pengurusan sahaja," tambahnya.

Menerusi sumber dalaman, Penaung Diraja PBNJ, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, turut enggan mengulas perkara ini.

Sementara itu, pengendali Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee, ternyata terkejut dengan keputusan kedua-dua pemain terbabit, lewat petang semalam.

Namun, dia menghormati keputusan Aidil dan Safiq dan akan meneruskan tanggungjawabnya memantau pemain yang layak untuk menggalas misi negara.

"Jika keadaan berubah dan mereka menukar fikiran untuk kembali menyarung jersi skuad kebangsaan pada masa akan datang, sudah tentu kami akan menilai semula kedudukan mereka berdasarkan prestasi semasa ketika itu," katanya menerusi entri rasmi yang dikeluarkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).