Empat tahun lalu, Datuk Ong Kim Swee, dijulang penuh wibawa jitu hasil kejayaan merancang cabaran anak buahnya yang berakhir dengan kilauan pingat emas bola sepak Sukan SEA setelah memenangi penentuan penalti penuh debar di Stadium Gelora Bung Karno di Jakarta.

Dua tahun lalu, pencapaian itu gagal dipertahankan apabila hanya kemunculan ke separuh akhir jadi gapaian, tanpa ada sebarang pingat mampu dibawa pulang.

Kali ini di Singapura, nasib barisannya lebih malang apabila sudahpun tahu diri tersingkir sebelum bermulanya temasya Sukan SEA secara rasminya.

Kenapa begitu beza nasib dalam lingkung putaran hanya empat tahun?

Emas Sukan SEA diperolehi hasil himpunan pemain yang bersamanya untuk tempoh dua tahun tanpa diganggu - bersama-sama mengharungi kancah cabaran Liga Perdana, saingan di Slovakia dan juga Liga Singapura dengan keputusan yang membanggakan.

Ketika itu, pemain tidak dikelabui taburan tawaran lumayan ketika mereka belum 'matang sepenuhnya' dan tiada kelompok pegawai badan induk yang sibuk mahu mendekatkan diri bersama pasukan dengan matlamat 'mencuri tumpuan.'

Malah di Nay Pyi Taw, dua tahun lalu, Kim Swee juga tidak diganggu. Tetapi beliau dihampakan generasi pemain baru yang kualitinya tidak segah dua tahun sebelumnya, ketika kelompok muka baru ini juga membiarkan diri 'terpesona' melihat habuan yang diperolehi oleh kumpulan pemain terdahulu.

Kali ini? Tidak keterlaluan menganggap Kim Swee 'dihadiahkan' situasi paling teruk untuk membina pasukan ketika badan induk tetap mengimpikan sasaran yang tinggi.

Pengendali itu diarahkan membentuk pasukan tanpa diberi kumpulan pemain sepenuh masa, ketika Razip Ismail yang dilantik mengendalikan skuad bawah 22 tahun dan barisan pasukan negeri semuanya turut menuntut hak kepada kelompok pemain sama.

Kim Swee mungkin mengakui berang dengan anak buahnya - terutama kekalahan 1-5 di tangan Vietnam yang juga rekod terburuknya sebagai jurulatih - tetapi dia, saya percaya, sebenarnya sedar betapa gapaian emas kali ini nyata mustahil.

Biarpun sedikit tercalar kali ini, Kim Swee sebenarnya sudah membina reputasi kukuh sebagai jurulatih.

Dan sudah tiba masanya beliau melangkah pergi untuk membina nama dan reputasi peribadi, tanpa perlu rasa bersalah kepada agenda negara lagi.

Biarlah Kim Swee pergi. Biar mereka yang tidak punya perancangan teliti, akhirnya sedar betapa merekalah yang sepatutnya menyesali diri.

________________________________________________________________________
*Ahmad Khawari Isa merupakan presiden Persatuan Penulis Sukan Malaysia dan juga Ketua Jabatan Berita Astro Arena
**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.