KUALA LUMPUR: Penjaga gol utama Sarawak United FC, Mohd Sharbinee Allawee Ramli menerima padah apabila digantung lima perlawanan susulan tindakan 'ganasnya' pada aksi Liga Premier menentang Negeri Sembilan FC di sini, pada 10 September lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) Datuk Baljit Singh Sidhu berkata, bagi pertuduhan pertama, Mohd Sharbinee melanggar Artikel 50.1(d) Kod Tatatertib FAM iaitu berkelakuan tidak bersemangat kesukanan apabila sengaja menerjah dengan kuat bahagian dada pemain pasukan lawan, Mohamad Zamri Pin Ramli.

Katanya, bagi pertuduhan kedua, pemain itu melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM iaitu berkelakuan tidak bersemangat kesukanan apabila menolak dengan agresif dada pengadil perlawanan setelah dilayangkan kad merah, seterusnya menumbuk papan penggantian diangkat pegawai keempat untuk membuat penggantian pemain setelah diperintah keluar padang, bagi pertuduhan ketiga.

"Pemain itu dikenakan hukuman penggantungan dua perlawanan termasuk satu penggantungan perlawanan secara automatik dan denda RM3,000 bagi pertuduhan pertama, penggantungan dua perlawanan dan denda RM2,000 bagi pertuduhan kedua dan penggantungan satu perlawanan serta denda RM2,000 bagi pertuduhan ketiga," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Baljit menegaskan Mohd Sharbinee digantung satu perlawanan secara automatik iaitu bagi saingan Liga Premier di antara pasukannya dan Johor Darul Ta'zim II pada Selasa ini (21 Sept), manakala baki penggantungan empat lagi perlawanan berkuat kuasa serta-merta pada empat perlawanan rasmi Liga Malaysia (Liga-M) iaitu Liga Super, Liga Premier, Piala FA atau Piala Malaysia sama ada musim sama atau akan datang.

Sementara itu, Baljit berkata, rakan sepasukannya Mohd Badrul Affendy Mohd Fadzli juga dihukum apabila melakukan dua kesalahan melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM iaitu berkelakuan tidak bersemangat kesukanan terhadap penolong pengadil satu dengan meluru ke arahnya secara agresif dan menolak kuat dadanya, setelah tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil perlawanan, bagi pertuduhan pertama.

Bagi pertuduhan kedua, pemain itu didapati meluru ke arah pengadil serta dua penolongnya secara agresif dan menolak dada pengadil selepas tamat perlawanan.

Baljit berkata kesalahan itu menyebabkan dia digantung dua perlawanan dan denda RM2,000 bagi pertuduhan pertama dan hukuman penggantungan dua perlawanan bermula aksi Selasa ini serta denda RM2,000 bagi pertuduhan kedua.

Baljit berkata seorang lagi pemain, Mohammad Amer Saidin pula melanggar Artikel 59 Kod Tatatertib FAM apabila meluru ke arah pengadil dan dua penolongnya selain menolak dada pengadil, lalu menyaksikannya dihukum penggantungan dua perlawanan termasuk aksi Selasa ini dan denda RM2,000.

Dalam pada itu, Baljit berkata hukuman keras turut dikenakan kepada Ketua Jurulatih Sarawak United FC, E. Elavarasan, selepas membuat kenyataan semasa temu ramah selepas perlawanan berhubung isu melibatkan FAM tanpa kebenaran dan kenyataannya boleh memberikan impak negatif ke atas reputasi FAM.

Katanya, kesalahan Elavarasan melanggar Artikel 61 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama dengan Artikel 7 Statut FAM (Tatalaku Badan dan Pegawai) dan Artikel 82 Statut FAM (Sumbangan kepada Media), menyaksikannya digantung 12 bulan daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak mulai 17 Sept 2021-16 Sept 2022 dan denda RM10,000.

"Bagaimanapun, jawatankuasa telah memutuskan untuk mengguna pakai Artikel 35 Kod Tatatertib FAM dan hukuman penggantungan tersebut ditangguh tertakluk kepada kelakuan baik selama 12 bulan.

"Jika kesalahan sama berulang dalam tempoh 12 bulan selepas penangguhan penggantungan, maka hukuman penggantungan tersebut akan dikuatkuasakan serta-merta terhadap beliau," tambahnya.

Selain itu, Baljit memaklumkan pegawai pasukan Sarawak United FC, Abang Fomay Abang Sa'adeli digantung dua perlawanan dan denda RM10,000 manakala Rudy Bujang pula dikenakan hukuman penggantungan selama enam bulan daripada terlibat dengan sebarang aktiviti bola sepak susulan tindakan mereka tidak menunjukkan semangat kesukanan dalam perlawanan sama.

Bagaimanapun, Baljit memberitahu kesemua keputusan penggantungan boleh dirayu dan pemain serta pegawai boleh diberi amaran keras selain hukuman lebih berat bakal menanti sekiranya mengulangi kesalahan sama.

-- BERNAMA