RIO DE JANEIRO: Konfederasi Bola Sepak Brazil (CBF) pada Jumaat mengumumkan semua pemain mesti lengkap diberi vaksin COVID-19 untuk melayakkan mereka mengambil bahagian dalam kejuaraan liga tahun ini.

CBF berkata mereka sentiasa berhubung dengan badan kesihatan dan telah memaklumkan perkembangan terkini itu kepada semua pemain.

"Salah satu daripadanya ialah kewajipan untuk mengemukakan sijil vaksinasi lengkap COVID-19 kepada Suruhanjaya Perubatan CBF," kata CBF dalam satu kenyataan.

Empat divisyen liga kebangsaan teratas akan bermula pada minggu kedua bulan April.

Sebelum ini, jurulatih kebangsaan Brazil, Tite berkata dia tidak memilih pemain pertahanan Atletico Madrid, Renan Lodi untuk berada dalam skuadnya bagi menghadapi kelayakan Piala Dunia akan datang kerana pemain itu belum menerima vaksin lengkap.

Isu pendirian atlet terhadap vaksin menjadi perhatian baru-baru ini selepas pemain tenis nombor satu dunia, Novak Djokovic, yang tidak divaksin, dihantar pulang dan tidak dibenarkan menyertai Terbuka Australia.