KUCHING City FC mengakui persembahan kurang memuaskan ketika menentang Perak FC dalam aksi Liga Super di Stadium Perak pada Ahad menyebabkan kekalahan ketiga mereka musim ini.

Penolong ketua jurulatihnya, Sulaiman Hussin berkata, pemain gagal mencipta peluang untuk menjaringkan gol sedangkan Perak FC adalah setaraf dengan mereka.

Menurutnya, sebarang kesilapan perlu dielakkan dan mentaliti pemain perlu berubah jika pasukan mahu berada di tempat terbaik dalam Liga Super.

"Kita tak boleh terus kalah terutama dengan pasukan-pasukan yang sama level dengan kita seperti Perak. Kita tak boleh lepaskan tiga mata mudah macam ni.

"Bermain dengan Sabah, bermain dengan Selangor, kita boleh terima (kekalahan) sebab mereka pasukan yang bagus. Tapi untuk kalah dengan Perak kita tak boleh terima.

"Empat perlawanan, saya rasa pemain sudah banyak belajar dan mereka akan terus memperbaiki kesilapan dari semasa ke semasa," katanya kepada pemberita selepas perlawanan Perak FC menentang Kuching City FC di Stadium Perak pada Ahad.

Sulaiman berkata, selepas empat perlawanan, pemain perlu bangkit dan matang jika mahu terus bersaing di dalam Liga Super.

Menurutnya, corak permainan di Liga Super amat berbeza dengan Liga Premier dan pemain perlu cepat menerima keadaan itu.

"Apabila kita bermain di Liga Super, kita tak ada ruang untuk berfikir. Sekali bola bergerak, kamu sudah berfikir. Kalau nak tunggu bola sampai baru berfikir, lawan dah jauh ke depan.

"Dalam Liga Super kamu tak ada masa. Apabila dapat bola kena fikir tindakan selanjutnya, tak ada masa dan ruang dalam Liga Super untuk seronok bermain," katanya.

Untuk rekod, Kuching City FC hanya mencatat satu kemenangan dan tiga kekalahan dalam empat perlawanan Liga Super musim ini.

Mereka dijadual bertemu Kedah Darul Aman FC pada Jumaat ini di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Kedah. - Sinar Harian