SESETENGAH perkara tidak pernah berubah dan keputusan perlawanan antara Brazil dan Peru kelihatan sesuatu yang tidak terkecuali. The Selecao mengatasi Peru 3-1 dalam final Copa America 2019. Dan mereka sekali lagi mengatasi lawan sama dan kali ini dalam aksi separuh akhir.

Los Incas mempamerkan persembahan yang lebih baik berbanding dua tahun lalu, tetapi mereka kekurangan apa yang diperlukan untuk memperbaiki kesilapan lalu. Di sebalik menghasilkan beberapa peluang, terutama dalam separuh masa kedua, Peru gagal menemui jaringan selepas jaringan separuh masa pertama Lucas Paqueta memastikan kemenangan memihak Brazil.

Skuad kendalian Tite menang Copa America 2019 tanpa Neymar. Namun mereka banyak bergantung kepada bintang Paris Saint-Germain (PSG) itu tahun ini. Pemain berusia 29 tahun itu menjadi tunjang pasukan dan terlibat dalam hampir kesemua gerakan serangan pasukan.

Nasib baik, Paqueta telah melangkah dan berkongsi beban Neymar. Pemain tengah Lyon itu telah menjadi penyelamat Brazil setelah bergandingan bersama Neymar. Dua pemain itu seakan membentuk pemahaman yang tinggi bagi menggunakan kelebihan masing-masing ke tahap yang lebih tinggi.

Neymar dan Paqueta berganding mendapatkan kemenangan ke atas Chile dalam suku akhir dan melakukannya sekali lagi dalam separuh akhir bertemu Peru. Ia kelihatan seperti mereka menikmati waktu bersama beraksi selepas gerakan yang cemerlang saling dihasilkan.

Brazil mempunyai pasukan yang hebat tetapi telepati antara Neymar dan Paqueta dapat menjadi tumpuan yang mendorong Selecao menuju kejayaan.

Brazil mara ke final dan mereka bakal berdepan Argentina yang mengatasi Colombia menerusi penentuan penalti dan ia merupakan sesuatu diharap Neymar -- bertemu Lionel Messi dalam aksi final.

"Saya mahu Argentina ke final," kata Neymar.

"Saya memiliki ramai rakan di sana tetapi dalam final nanti, Brazil akan menang."