Berikut ialah beberapa corat-coret sepanjang temasya Sukan Asia ke-17 yang berlangsung.

MALAYSIA GOOD

"Malaysia good," itulah ungkapan pertama yang didengari petugas media Bernama yang membuat liputan temasya Sukan Asia ke-17 sebaik tiba di Perkampungan Media di daerah Incheon, Korea Selatan semalam.

Pegawai polis trafik yang mesra dengan panggilan James menyifatkan Malaysia sebagai sebuah negara menarik dan cantik.

"Annyong haseyo (Salam perkenalan dalam bahasa Korea)... Malaysia is good and beautiful country," kata beliau yang kurang fasih berbahasa Inggeris.

James berkata beliau teringin untuk melancong ke Malaysia apabila mendengar cerita jirannya, yang pernah melawat Malaysia, bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang cantik dan rakyatnya peramah.

Kedatangan pelancong dari Korea Selatan ke Malaysia bertambah setiap tahun iaitu 207,000 pada tahun lepas dan dijangka meningkat tahun ini bersempena kempen Tahun Melawat Malaysia 2014.

Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini, sejumlah 130,000 melawat Malaysia dan angka itu menunjukkan peningkatan lebih 35 peratus setiap bulan berbanding tempoh sama pada tahun lepas.

MASYARAKAT INCHEON BOLEH BERBAHASA JEPUN

Faktor sejarah, Korea Selatan pernah dijajah Empayar Jepun pada 1910 hingga 1945 dan ini mungkin menyebabkan ramai masyarat Korea Selatan dalam umur pertengahan mampu bertutur dalam bahasa Jepun dengan baik.

Zaman penjajahan Jepun di Korea bermula dengan Perjanjian Ganghwa pada 1876 ketika Dinasti Joseon Korea dan meningkat berikutan pembunuhan Maharani Myeongseong di tangan ejen Jepun pada 1895.

Beberapa sukarelawan yang bertugas di temasya Sukan Asia ke-17, yang ditemui Bernama, bertanya sama ada kami boleh bertutur bahasa Jepun kerana mereka tidak berapa fasih bahasa Inggeris.

PENGANJUR SEDIA MAKANAN HALAL

Sajian makanan halal bercirikan masakan Arab, India dan tempatan disediakan penganjur bagi memenuhi keperluan petugas media beragama Islam yang membuat liputan di temasya Sukan Asia ke-17.

Makanan halal dijual pada harga Won 5,000 hingga Won 7,000 untuk satu hidangan (RM15.56 hingga RM21.78).

Antara makanan halal yang dijual ialah kari ayam dan Kusari yang boleh didapati di dewan makan berhampiran Pusat Media Utama (MPC).

Sarapan halal secara percuma turut disediakan untuk petugas media beragama Islam yang tinggal di Perkampungan Media. - Astro ARENA