KESEMUA pengarah Ligue de Football Professionnel (LFP) akan mengadakan satu pertemuan esok bagi mengkaji kesan terhadap sukan dan ekonomi selepas kerajaan Perancis membatalkan liga musim ini.

Perdana Menteri Perancis, Edouard Philippe, malam tadi mengumumkan bahawa pihaknya telah mengadakan perbincangan dan membuat keputusan supaya setiap aktiviti bola sepak profesional, ragbi dan sukan-sukan lain tidak dibenarkan sehingga September depan berikutan pandemik COVID-19.

Ia bermakna saingan Ligue 1 dan 2 musim ini sudah berakhir dengan perlawanan domestik seterusnya hanya akan berlangsung pada permulaan musim 2020-21.

Badan pengelola, LFP, pada awalnya mendedahkan perancangan mereka untuk meneruskan liga musim ini pada 17 Jun depan.

Bagaimanapun, mereka kini perlu membuat keputusan sama ada pendahulu liga, Paris Saint-Germain (PSG) -- yang berkelebihan 12 mata di depan pencabar terdekat, Marseille, dengan kelebihan satu perlawanan dalam tangan -- akan dianugerahkan kejuaraan itu, termasuk mengenai pasukan yang akan dinaikkan atau disingkirkan dan kelayakan ke peringkat Eropah.

"Berdasarkan mesyuarat pada 28 April lalu, lembaga pengarah LFP menyedari pengisytiharan yang diumumkan Perdana Menteri, Edouard Philippe," kata LFP dalam satu kenyataan.

"Biro lembaga pengarah akan mengadakan satu perjumpaan pada 30 April ini untuk mengkaji kesan terhadap sukan dan ekonomi berdasarkan apa yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri."

BACA: COVID-19: Perancis lanjutkan langkah kecemasan hingga 11 Mei

BACA: Kilang kereta di Perancis mula dibuka, wujudkan normal baharu

Toulouse merupakan pasukan tercorot Ligue 1 musim ini selepas ketinggalan 10 mata di belakang Amiens manakala Nimes pula di tangga ke-18.

Lorient dan Lens berkemungkinan akan mengisi dua slot ke liga divisyen utama itu musim depan.

Kedua-dua liga utama itu digantung sejak 13 Mac lalu gara-gara pandemik COVID-19.

Lebih 23,000 mangsa terkorban di Perancis selepas dijangkiti virus berkenaan, di mana negara itu turut melaksanakan perintah berkurung sekurang-kurangnya sehingga 11 Mei ini.