Perdana Menteri Jepun, Abe Shinzo hari ini menyeru agar acara sukan dan kebudayaan negara itu dibatal atau ditangguhkan untuk tempoh dua minggu susulan penularan wabak COVID-19 yang turut menimbulkan tanda-tanya mengenai nasib penganjuran Olimpik Tokyo 2020 Julai nanti.

Gesaan dibuat susulan keputusan sebuah pasukan besbol Tokyo yang memilih untuk beraksi di stadium kosong dalam satu pertandingan hujung minggu ini.

Ia juga berikutan laporan dua pusat perniagaan di ibu kota Tokyo turut mengesan kes COVID-19.

Katanya, pertimbangan itu adalah penting bagi tempoh satu hingga dua minggu ini sebagai langkah mengekang penularan wabak berkenaan.

“Kerajaan berasakan risiko tinggi penyebaran akan berlaku dalam acara sukan dan kebudayaan serta perhimpunan yang membabitkan ramai orang,” jelas Abe dalam ucapannya di parlimen negara itu.

Terdahulu, Anggota Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Dick Pound berkata Sukan Olimpik Tokyo berkemungkinan akan dibatalkan atau ditangguhkan selain cadangan dipindahkan ke lokasi lain sekiranya wabak itu terus menular dengan keputusan rasmi kemungkinan diumumkan pada Mei nanti.

Sebagai rekod, Jepun mempunyai sekurang-kurangnya 164 kes positif koronavirus selain daripada 691 kes dilaporkan di kapal Diamond Princess yang berlabuh di Yokohama.

Untuk itu, kerajaan negara itu berusaha mengatur strategi bagi mengatasi penularan wabak itu dalam usaha untuk mengurangkan jumlah kematian yang setakat ini telah meragut empat nyawa.

BACA: Stadium Nasional kini bersedia untuk Olimpik Tokyo 2020

BACA: Sejauh manakah persediaan Jepun untuk Olimpik 2020?