PRESIDEN Brescia, Massimo Cellino, mengesahkan dia positif dalam ujian Koronavirus.

Itali merupakan negara yang teruk dilanda wabak COVID-19 selepas mencatat 176,000 kes positif dan 23,227 kematian sekali gus menduduki tangga kedua di seluruh dunia selepas Amerika Syarikat.

Wilayah Lombardy, lokasi letaknya Brescia merupakan pusat wabak itu di Itali dan walaupun dalam tempoh kawalan, ia masih merebak secara luas.

Ujian di Lombardy yang dilakukan beberapa minggu lalu telah menunjukkan hasil dan ramai individu yang dijangkiti walaupun tidak mengalami sebarang simptom.

Laporan media semalam mendakwa, Cellino merupakan antara individu yang positif dan dia kemudian mengesahkan khabar itu.

"Selepas dua minggu kuarantin di Cagliari, saya ke hospital untuk mengetahui sama ada dijangkiti atau tidak," katanya.

"Kami mendapati anak perempuan saya dijangkiti virus tetapi tidak buat anak lelaki. Kemudian, saya juga dijangkiti. Saya mengalami lemah otot dan kesakitan pada bahagian tulang."

Bola sepak di Itali masih ditangguhkan walaupun ada cadangan agar saingan disambung pada 4 Mei untuk kembali menjalani latihan tatkala kerajaan melarang segala aktiviti sebelum tarikh itu.