Klik. Pemain bola sepak Neymar memberikan pose tanpa baju bersama teman wanitanya. Klik. Penyerang Jerman Lukas Podolski memeluk Chancellor Angela Merkel di bilik persalinan.

Sesiapa yang ada telefon pintar pastinya sering merakam selfie ketika Piala Dunia di Brazil, dengan peminat dan pemain saling memuat naik gambar berkenaan untuk paparan umum.

Dan kerana telefon pintar juga, jutaan mesej dan gambar dimuat naik di laman media sosial ketika perlawanan yang bermula pada 12 Jun dan akan berakhir pada 13 Julai.

Jumlah peranti mudah alih dengan kemudahan internet meningkat di seluruh dunia sejak Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan. Dari 800 juta empat tahun lalu kepada 2.5 bilion pada 2013, menurut persatuan operator mudah alih GSMA.

Dianggarkan tiga juta rakyat Brazil dan 600,000 pelancong akan menyaksikan kesemua 64 perlawanan ketika Piala Dunia, dan merakam gambar di negara terbesar di Amerika Selatan itu.

"Manusia sememangnya mahu dirinya diiktiraf, dan internet adalah alat komunikasi yang berpengaruh," kata Rosa Maria Farah, seorang pakar dari Pusat Maklumat dan Penyelidikan Psikologi, Universiti Katolik Sao Paulo.

"Selfie tidak bergantung kepada agensi-agensi publisiti. Ia adalah individu itu sendiri yang memaklumkan dan menjadikan mesej lebih sengit," Farah memberitahu AFP.

Selfie bersama Neymar
Neymar bersama peminat-peminatnya ketika sesi latihan. - AFP PHOTO/ VANDERLEI ALMEIDA

Selfie di bilik persalinan

Neymar yang merupakan penyerang Brazil berusia 22 tahun dan teman wanitanya sering berkongsi detik-detik peribadi di laman media sosial.

Lebih sejuta orang klik 'Like’ ketika beliau memuat naik selfie di Instagram, memaparkan teman wanitanya memeluk tubuhnya yang tidak memakai baju.

Dia merakam gambar berkenaan ketika Brazil menewaskan Croatia 3-1 pada 12 Jun, hari yang sama Brazil menyambut Hari Kekasih.

Podolski pula merakam selfie bersama Merkel ketika Canselor Jerman itu melawat bilik persalinan selepas Jerman menewaskan Portugal 4-0 ketika perlawanan kumpulan.

Podolski bersama Merkel
Podolski rakam selfie bersama Merkel di bilik persalinan. -Sumber: Instagram/@poldi_official

Beberapa pasukan seperti Portugal dan Mexico merakam selfie secara berkumpulan bersama Presiden masing-masing sebelum temasya Piala Dunia.

Pemain Real Madrid Cristiano Ronaldo turut berkongsi gambar pasukannya bersama Presiden Protugal Anibal Cavaco Silva di Twitter, dan menerima 14,000 'Retweet' dan 17,000 'Favorite'.

Penyerang Argentina dan Manchester City Sergio Aguero pula telah berkongsi gambar selfie bersama enam juta pengikutnya di Twitter. Gambar memaparkan dia bersama kumpulannya ketika Piala Dunia.

Selfie World Cup
Presiden Chile Michelle Bachelet bergambar bersama pemain Chile Gary Medel (tengah) dan Maurincio Pinilla. - AFP PHOTO/PRESIDENCIA/ALEX IBANEZ

Kepada yang lain, selfie turut dirakam selepas tersingkir dari Piala Dunia.

Setelah tersingkir pada hari Sabtu, pasukan Chile diundang ke kediaman presiden Michelle Bachelet.

“Itulah Selfie!” tulis Gary Medel, atau dikenali sebagai “Pitbull”, untuk gambar beliau bersama Bachelet.

Rekod Facebook

Bukan pemain terkenal sahaja yang rancak berkongsi pengalaman Piala Dunia mereka.

Peminat-peminat bola telah merakam selfie di 12 bandar yang menjadi tuan rumah Piala Dunia: ketika berjalan ke stadium, di dalam stadium, di jalanraya dan bar.

Di Rio De Janeiro, satu tempat menjadi tumpuan untuk selfie: di hadapan papan iklan Adidas yang menampilkan pemain Uruguay Luis Suarez dengan mulutnya terbuka besar.

Ratusan peminat bola merakam gambar bahu mereka diletakkan berhampiran Suarez dengan aksi menggigit, seakan insiden pemain itu menggigit Giorgio Chiellini, menyebabkan beliau terus digantung dari perlawanan.

Dari perlawanan pertama di setiap 12 stadium, emel, gambar atau mesej multimedia berjumlah 7.6 juta telah dikirim, menurut angka rasmi.

Pihak kerajaan berkata rangkaian 3G, 4G dan wi-fi boleh didapati di semua stadium tetapi terdapat juga rungutan dari wartawan AFP yang berkata perkhidmatan data atau panggilan tidak dapat disambung di semua stadium.

Pada perlawanan kumpulan, 300 juta mesej tentang perlawanan dimuat naik di Twitter.

Facebook berkata topik mengenai Piala Dunia begitu aktif di laman media sosial paling berpengaruh itu berbanding acara lain.

Lebih dari satu bilion komen, mesej dan ‘Like’ mengenai Piala Dunia diterima sejak ia bermula, di tahap perbualan dalam talian tidak pernah dilihat sebelum ini di Facebook, menurut rangkaian media sosial itu yang berpangkalan di California.

Manakala dianggarkan 220 juta orang telah mengambil bahagian dalam perbualan dalam talian sejak Piala Dunia bermula.