PENYERANG Atletico Madrid, Moussa Dembele, diuji positif COVID-19.

Pendahulu LaLiga itu mengesahkan berita berkenaan malam tadi, sehari selepas pemain termahal kelab tersebut, Joao Felix, juga kembali dijangkiti.

"Pasukan kami menjalani ujian PCR (penafasan) seperti yang disarankan oleh LaLiga sebagai tambahan kepada ujian antigen mingguan seperti yang termaktub dalam protokol. Ujian PCR itu kemudian mendapati Moussa Dembele positif COVID-19," kata Atletico dalam satu kenyataan.

"Pemain dari Perancis itu sedang menjalani kuarantin di rumahnya, bertepatan dengan panduan pihak berkuasa kesihatan dan protokol LaLiga."

Atleti akan menghadapi Celta Vigo di laman sendiri Selasa depan tatkala mereka berusaha untuk mengekalkan pendahuluan selesa 10 mata di puncak.

Dembele tiba secara pinjaman daripada Lyon bulan lalu sehingga hujung musim ini dengan Atleti diberi pilihan untuk membeli bekas pemain antarabangsa Perancis B-21 berkenaan dengan bayaran awal €33.5 juta (RM162.7j).

Dia sudah tiga kali berada di bangku simpanan untuk kempen LaLiga tetapi belum tampil di bawah pengurus, Diego Simeone.