BERLIN: Pemerhati bola sepak Sepanyol menyebut Toni Kroos antara pemain paling teruk beraksi di Piala Dunia 2022 walhal pemain pasukan Real Madrid itu telah bersara daripada pasukan kebangsaan Jerman sejak selepas Euro 2020.

Memetik laporan Daily Mail, dakwaan itu muncul kerana Jerman gagal menembusi fasa kumpulan Piala Dunia 2022 buat kali kedua berturut-turut meskipun dibarisi ramai pemain hebat.

Jerman gagal mara selepas ditewaskan Jepun, seri dengan Sepanyol dan menang dengan Costa Rica dalam Kumpulan E.

Disebabkan tersingkir awal, para pemain Jerman menerima kritikan. Menariknya, Toni Kroos turut menerima kritikan daripada wartawan sukan Sepanyol, Cristina Cubero.

Dipetik daripada Daily Mail, Cubero menyifatkan Kroos sebagai salah seorang pemain terburuk di Piala Dunia 2022. Ini disampaikan Cubero dalam program televisyen Sepanyol El Chiringuito.

"Vinicius Jr. dan Kroos," kata Cubero di program berkenaan.

Dalam pada itu, kenyataan Cubero mula viral memandangkan Kroos telah bersara daripada pasukan kebangsaan Jerman selepas Euro 2020 dan tidak lagi bermain untuk Der Panzer sejak 18 bulan lalu.

Kroos kemudian menggunakan Twitter untuk membalas kenyataan Cubero.

"Saya sudah menjangkakan seseorang akan menyalahkan saya atas kegagalan Jerman," tulis Kroos di Twitter disertai emoji ketawa.

Tidak lama kemudian, Cubero memohon maaf atas kenyataannya dan mengakui kesilapan.

Cubero memaklumkan terdapat kesilapan kerana dia mahu menyebut nama Thomas Muller.

"Anda menang. Saya silap. Maksud saya Muller dan bagi saya Vinicius Jr. adalah kekecewaan besar untuk Brazil. Hahahaha, maaf Toni. Saya mengagumi awak. Tetapi saya rasa pasukan anda mengecewakan namun saya menghormati anda secara peribadi," tulis Cubero.