PERSEKUTUAN Angkat Berat Malaysia (PABM) merancang untuk membubarkan skuad kebangsaan seandainya dua atlet mereka didapati bersalah mengambil bahan terlarang jenis anabolic steroid sehingga berdepan penggantungan maksimum selama empat tahun.

Nadi Arena melaporkan dua atlet terbabit, termasuk pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2018, Azroy Hazalwafie Izhar Ahmad, ketika ini sedang menjalani penggantungan sepanjang proses siasatan dijalankan.

Mereka perlu menghadapi Agensi Antidoping Malaysia (ADAMAS) sebelum Khamis ini.

PABM kecewa kerana kes itu berlaku sewaktu kem latihan berpusat sehingga merancang untuk mengambil tindakan drastik terhadap skuad kebangsaan.

BACA: Dua atlet angkat berat positif doping digantung serta-merta - PABM 

BACA: Shapawi terkejut atlet positif doping

Presidennya, Datuk Ayub Rahmat, dalam satu temu bual bersama wartawan Nadi Arena, Bazly Azmi, berkata: "Jika mereka masih lagi tidak berbubah, kami mungkin akan membubarkan pasukan kebangsaan dan akan membentuk pasukan baru.

"Ini supaya kami dapat mengawal dengan lebih dekat atlet ini.

"Saya selalu katakan bahawa walaupun ada atlet yang boleh mendapatkan pingat emas tetapi sekiranya mereka terlibat dengan kegiatan seperti ini, menyalahi aspek disiplin yang telah ditetapkan, kami tidak akan teragak-agak untuk menggugurkan mereka.

"Biarlah tidak mendapatkan pingat asalkan memiliki reputasi yang baik.

"Kami sebenarnya mempunyai atlet pelapis yang berbakat dan ada yang mampu meraih pingat emas.

"Kami di PABM tidak bergantung kepada seorang atlet sahaja. Kami mempunyai atlet lain yang mungkin lebih baik berbanding atlet sedia ada," katanya.