ZURICH: Enam bandar raya di seluruh dunia dipilih sebagai tuan rumah acara Festival Peminat Antarabangsa sempena Piala Dunia di Qatar, menurut pengumuman FIFA pada Isnin.

Festival Peminat FIFA akan berlangsung di London, Mexico, Rio de Janerio, Sao Paulo, Seoul dan Dubai, selain festival peminat utama di Al Bidda Park di Doha, lapor agensi berita Qatar (QNA).

Pesta di Qatar akan memberikan pengalaman indah kepada peminat untuk menikmati suasana bola sepak, muzik, makanan lazat dan pengalaman budaya yang unik.

Semua acara Festival Peminat FIFA antarabangsa akan menayangkan siaran langsung perlawanan Piala Dunia FIFA Qatar 2022 serta pelbagai aktiviti termasuk persembahan DJ antarabangsa popular, pemuzik dan artis tempatan dan penampilan Legenda FIFA.

Acara terpilih akan menggunakan audio 4D yang memperdengar bunyi dari perlawanan di Qatar ke lokasi tempatan.

Peminat berpeluang melihat kandungan eksklusif dari negara tuan rumah menerusi saluran digital FIFA, terutama FIFA+ yang berfungsi sebagai platform utama bagi kandungan digital.

-- BERNAMA