DIIBARATKAN lirik lagu ‘Pelamin Anganku Musnah’, impian peminat bola sepak Kedah mahupun tanah air untuk melihat satu lagi pasukan ditaja oleh jutawan kosmetik selepas Datuk Vida menaja pasukan Kelantan, berkubur begitu sahaja apabila KFA memutuskan untuk menolak lamaran Datuk Aliff Syukri iaitu pengasas kepada syarikat D'Herbs.

Sudahlah lamaran ditolak, keluar pula cerita yang kurang sedap didengar.

Hendak dijadikan cerita, kedua-kedua pihak kini saling 'bercakaran' antara satu sama lain mengenai kegagalan proses rundingan perjanjian tersebut. Kedua-dua belah pihak telah mengadakan sidang media mereka sendiri dan menerangkan sebab kegagalan perjanjian tersebut. Seorang kata begini, seorang lagi kata begitu.

Takkan selesai

Tidak menjadi masalah jikalau kedua-dua pihak duduk berbincang dahulu sebelum mengeluarkan kenyataan media.

Tidak salah rasanya jikalau pihak KFA dan D'Herbs mengadakan sidang media bersama menyatakan bahawa penajaan itu tidak mencapai kesepakatan atas sebab-sebab tertentu daripada menimbulkan kemelut seperti sekarang.

Kalau dah tak jadi itu, elok-eloklah berpisah. Bak kata orang tua,’Dah takda jodoh nak buat macam mana’.

Kepada KFA, selepas ini jika mahu mencari penajaan bincanglah secara mendalam dengan semua pihak dan capailah kata sepakat yang membawa kebaikan secara menyeluruh.

Ingat, perkara yang paling penting ialah KFA perlu menjaga perasaan peminat kerana merekalah nadi utama sesebuah pasukan dan persatuan. Mereka pastinya mahukan keputusan yang terbaik untuk pasukan.

Walaupun begitu, badan sukan seperti KFA hendaklah memikirkan apa yang terbaik untuk persatuan khususnya dalam aspek pembangunan bola sepak dari peringkat akar umbi. Janganlah hanya memikirkan keuntungan semata-semata kerana kerana apa yang nampak mewah itu tidak semestinya menjanjikan kejayaan.

Kepada Datuk Aliff pula, tahniah dan terima kasih kerana berminat untuk menaja pasukan bola sepak di tanah air kita. Mungkin tiada rezeki Datuk bersama KFA, tapi mungkin ada jodoh di negeri lain?

Minat dan usaha Datuk dilihat boleh membangunkan industri bola sepak di negara kita. Jadi jangan berputus asa untuk memajukan lagi bola sepak kita.

Semua faham Datuk merupakan seorang usahawan yang sudah tentunya mahukan keuntungan dalam pelaburan. Tetapi Datuk perlu faham bahawa tahap komersial sukan di negara kita pasarannya masih lagi kecil dan perspektif Datuk terhadap KFA mungkin tidak mencapai apa yang dihajati.

Namun, siapa sangka akan datang nanti kita akan menjadi liga besar seperti di China, Asia Barat dan pelbagai lagi dengan hadirnya usahawan dalam industri seperti Datuk?

Apa yang berlaku antara KFA dan D'Herbs diharapkan tidak menyekat pelbagai kemungkinan peluang lain demi pembangunan bola sepak secara Kedah. - Gambar fail

Jangan panik

Kepada peminat dan penyokong bola sepak Kedah, kalian tidak perlulah berasa ‘gabra’ atau memikirkan segalanya sudah berakhir buat pasukan Kedah pada musim ini setelah gagal untuk mendapatkan penajaan kerana penajaan bukanlah merupakan faktor utama kejayaan sesebuah pasukan.

Permainan sukan ini tidak 100 peratus bergantung kepada kemewahan untuk berjaya. Adakah kekayaan atau kejayaan pasukan yang anda buru? Bukankah memenangi liga atau kejohanan yang lebih penting dari menjadi pasukan terkaya?

Tidak dinafikan bahawa wang ringgit mampu membuatkan pasukan menjadi kukuh dari segi kualiti pemain, kemudahan infastuktur dan program pembangunan bakat pemain, tapi kalian sudah lupakah apa yang dilakukan oleh Pasukan Kedah pada musim 2007 dan 2008?

Pada ketika itu, adakah pasukan mempunyai penajaan yang kaya-raya dan mewah? Bagaimanakah kualiti pemain ketika itu jika dibanding dengan sekarang? Skuad Hijau Kuning ketika itu hanyalah pasukan yang baru naik dari Liga Premier dan berjaya menjadi pasukan yang digeruni lawan era itu.

Dulu boleh buat

Mengimbau kembali sejarah Pasukan Bola sepak Kedah yang bangkit ketika awal musim 2006 di bawah kendalian Azraai Khor Abdullah ketika itu dan telah menjadi johan Double-Treble untuk dua musim berikutnya.

Pasukan Kedah ketika itu yang hanya dibarisi pemain pelapis muda seperti Kyril Muhymeen, Badrol Bakhtiar dan yang lain telah berjaya mengimbangi kekuatan pemain import ketika itu.

Pasukan Kedah ketika itu tidak mempunyai penajaan berjuta-juta tetapi resepi kejayaan mereka merupakan kecekapan pengurusan di bawah Allahyarham Datuk Ahmad Basri dan semangat pemain untuk berjuang demi negeri tercinta.

Teringat pula kepada Pasukan Leicester City yang baru-baru ini menjulang trofi Liga Premier, siapa sangka pasukan yang hanya berbajet kecil dan berstatus underdog mampu melakarkan kejutan terbesar pada musim ini.

Kejayaan mereka telah menjadi fenomena kepada semua peminat bola sepak kerana mereka telah membuktikan bahawa wang bukanlah segala-galanya untuk berjaya sebaliknya kerja keras dan semangat juang tinggi untuk merealisasikan impian mereka.

Perkara seperti itu mungkin tak dapat diulangi lagi untuk dekad yang mendatang. Kejayaan memenangi kejohanan liga yang disertai dengan pasukan lain yang kuat dan mewah merupakan perkara yang manis dan bermakna kerana mereka telah bermain sepenuh hati dan bekerjasama demi merealisasikan impian mereka.

Bak kata jurulatih Leicester City, Claudio Ranieri: “Saya memberitahu pemain saya, kita perlu lakukannya sekarang atau tiada lagi peluang pada masa hadapan, kita perlu membuktikan kepada semua bahawa wang bukan segala-galanya".



* Artikel oleh Faiez Tajudin, yang merupakan peminat dan pemerhati dunia sukan tempatan.

** Kandungan artikel ini adalah pandangan peribadi mengikut pemerhatian penulis, dan tidak semestinya mewakili lidah pengarang Astro AWANI.