EPL: Leicester sekadar seri 1-1 dengan Watford

Astro Awani
Jun 21, 2020 01:10 MYT
Pemain Watford Danny Welbeck beraksi bersama pemain Leicester City James Justin ketika perlawanan EPL berlangsung tanpa penonton akibat penularan COVID-19 di Vicarage Road, Watford, 20 Jun, 2020. REUTERS
LEICESTER City gagal untuk mengutip tiga mata penuh untuk merapatkan kedudukan dengan Manchester City di tempat kedua selepas sekadar seri menentang Watford.
Pada aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) di Vicarage Road, Leicester diikat Watford dengan jaringan satu sama.
Keputusan seri itu membolehkan Watford mengutip satu mata berharga selepas berada dalam kedudukan bahaya dengan menghampiri zon penyingkiran.
Jaringan jarak jauh Ben Chilwell pada minit ke-89 menyaksikan Leicester hampir meraih mata penuh sebelum dikecewakan gol penyamaan lewat permainan Dawson.
Pada aksi yang agak hambar itu, percubaan terbaik Watford hadir pada awal babak kedua menerusi Ismaila Sarr namun pantas dinafikan Kasper Schmeichel sehinggalah aksi mula rancak pada minit ke-89.
Keputusan itu melonjakkan Watford satu anak tangga mengatasi West Ham yang akan menerima kunjungan Wolves dalam satu lagi aksi malam Ahad.
Leicester pula kekal di tangga ketiga dan kedudukan mereka tidak akan dipintas Chelsea sekalipun The Blues berjaya menewaskan Aston Villa pada malam Ahad.
#Ben Chilwell #Chelsea #EPL #Leicester City #Manchester City #Watford