Dua kejutan berlaku hari ini dalam saingan kumpulan F dimana Portugal 'diikat' Iceland manakala Hungary menewaskan Austria 2-0.

Perlawanan tumpuan menyaksikan Portugal menentang Iceland dan tumpuan terarah kepada Cristiano Ronaldo.

Bagaimanapun Iceland terlebih dahulu mengugat gawang Portugal seawal minit ketiga namun rembatan Gylfi Sigurdsson diselamatkan penjaga gol Rui Patricio.

Ronaldo tidak menyerlah malam ini terlepas beberapa peluang termasuk gagal menyepak kemas hantaran jauh Pepe dalam babak pertama.

Portugal akhirnya mendapat gol menerusi Nani yang menyudahkan hantaran silang Andre Gomes pada minit ke-31.

Bagaimanapun, Iceland mendapat gol penyamaan menerusi Birkir Bjarnason dalam babak kedua.

Pemain FC Basel itu tidak dikawal mudah melakukan volley hasil hantaran Johann Berg Gudmundsson pada minit ke-50.

Dalam satu lagi perlawanan kumpulan F, Hungary menewaskan Austria yang terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain.

Pemain Austria, David Alaba hampir menjaringkan gol paling pantas dalam kejohanan Euro namun rembatannya 28 saat selepas sepak mula terkena tiang.

Hungary mendapat gol dalam babak kedua apabila Adam Szalai menolak masuk hantaran Laszlo Kleinheiser pada minit ke-62.

Empat minit kemudian Austria terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain selepas Aleksandar Dragovic dibuang padang.

Dragovic menerima kad kuning kedua selepas mengasari Tamas Kadar.

Kelebihan tersebut digunakan Hungary untuk menggandakan jaringan menerusi Zoltan Steiber, 3 minit sebelum permainan tamat.