KUALA LUMPUR: Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu akan membuat pertemuan dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Lee Zii Jia susulan keputusan BAM untuk tidak mendaftarkan bintang perseorangan itu untuk kejohanan antarabangsa selama dua tahun.

Kata Ahli Parlimen Tambun itu menerusi kemas kini di Twitter peribadinya pada Jumaat, kedua-dua pihak perlu berusaha untuk mencari jalan keluar daripada isu yang tercetus.

“BAM dan Lee Zii Jia mesti mencuba bersungguh-sungguh mencari jalan penyelesaian untuk isu ini.

“Saya akan bertemu dengan kedua belah pihak dalam masa terdekat,” kata Ahmad Faizal atau lebih dikenali sebagai Peja.

BACA: BAM tidak akan daftar Lee Zii Jia untuk mana-mana pertandingan selama dua tahun

Tambahnya, jalan penyelesaian tentunya dapat dicapai jika kepentingan negara menjadi keutamaan.

[TERKINI] Sidang media Persatuan Badminton Malaysia

“Jika kepentingan negara diutamakan, sudah tentu ada jalan penyelesaiannya.



“Pada hemat saya, isu antara BAM dan Lee Zii Jia bukanlah perkara yang rakyat dan para pendukung serta penyokong sukan badminton inginkan ketika ini.”

BAM pada Jumaat mengumumkan bahawa Zii Jia tidak akan didaftarkan dalam sebarang pertandingan antarabangsa melibatkan negara selama dua tahun berkuat kuasa 18 Januari 2022.

Menurut Timbalan Presiden (2) BAM, Datuk Seri Jahaberdeen Mohamed Yunoos, BAM dan Zii Jia telah melakukan beberapa siri perbincangan sebelum ini dan meminta pemain tersebut mempertimbangkan keputusannya.