Keputusan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk membenarkan negeri yang mempunyai lebih daripada satu pasukan atau kelab bertanding dalam saingan Piala Presiden musim depan, ialah untuk memberi sokongan kepada pembangunan peringkat akar umbi.

Perkara itu dijelaskan Naib Presiden FAM Datuk Afandi Hamzah selepas mempengerusikan mesyuarat khas Jawatankuasa Pertandingan Tempatan FAM pada Khamis.

Langkah FAM tersebut menyaksikan badan induk itu menarik balik keputusan yang dibuat sebelum ini, yang tidak membenarkan penyertaan pasukan berstatus kelab bagi saingan Piala Presiden bermula 2013 hingga 2016.

"Ada kelab-kelab yang mempunyai akademi sendiri. Jadi kami berasa mahu memberi kesempatan buat kelab-kelab seperti PKNS, T Team dan Felda. Kalau mereka berminat untuk meneyrtai Piala Presiden. Kita bersedia menimbang penyertaan mereka, kerana mereka mempunyai pogram pembangunan akar umbi.

"Jadi kita sebagai badan induk, mahu turut bersama memberikan sokongan kepada program pembangunan akar umbi oleh kelab-kelab," kata Afandi.

Piala Presiden musim 2013 menyaksikan 16 pasukan negeri termasuk ATM dan PDRM bertanding dalam format liga.

Turut bersaing ialah dua pasukan jemputan, Sekolah Sukan Bukit Jalil dan Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail .