Federer rangkul gelaran Jelajah ATP ke-100

Astro Arena
Mac 2, 2019 23:51 MYT
Roger Federer dari Switzerland menunjukkan trofi yang dimenanginya selepas perlawanan akhir Kejohanan Tenis Dubai mengalahkan Stefanos Tsitsipas dari Greece di Dubai, United Arab Emirates, 2 Mac, 2019. (Foto AP)
ROGER Federer merealisasikan impiannya dengan meraih gelaran Jelajah ATP yang ke-100 di Kejohanan Tenis Dubai.
Pemain tenis kelahiran Switzerland itu mengatasi Stefanos Tsitsipas 6-4, 6-4 dalam aksi final semalam untuk mengikut jejak langkah Jimmy Connors untuk meraih gelaran yang ke-100 dalam Era Terbuka.
Meraih gelaran yang ke-99 menerusi kejayaan Tertutup Switzerland Oktober lalu, Federer meraih kemenangan dalam persaingan di antara dua pemain tenis yang berada dalam peringkat yang berbeza dalam karier.
BACA: Tsitsipas kagum dengan Nadal - Dia tidak beri saya ruang untuk bernafas
Tsitsipas yang baru berusia 20 tahun, menyingkirkan juara Grand Slam 20 kali itu dalam Terbuka Australia tetapi gagal memberikan saingan dalam pertemuan kedua dalam karier, apabila tewas dalam tempoh kurang dari 70 minit.
"Saya sangat gembira," kata Federer.
"Memenangi gelaran yang kelapan di sini dan yang ke-100 secara keseluruhan. Ia merupakan minggu yang terbaik buat saya. Saya telah menghadapi situasi yang sukar dan lawan yang lebih sengit sepanjang perjalanan ini.
"Tsitsipas mempamerkan aksi cemerlang selepas muncul juara di Marseille minggu lalu dan sekali lagi ke pentas final adalah sesuatu yang sukar untuk dilakukan. Saya mahu mengucapkan tahniah kepada dia yang bermain dengan baik sekali.
"Buat diri, ini merupakan impian menjadi kenyataan."
BACA: Roger Federer mara ke pusingan akhir Terbuka Dubai
Ketika menyuarakan hasratnya untuk terus bersaing dalam pentas tertinggi, Federer yakin bakat yang dimiliki Tsitsipas bermakna sukan ini akan terus berkembang walaupun dia akan bersara satu hari nanti.
"Saya tidak pasti tetapi Tsitsipas mungkin dilahirkan ketika saya memenangi gelaran pertama saya.
"Saya sangat bertuah kerana satu hari nanti, saya dapat menyaksikan bakat-bakat baru meningkat naik dalam sukan ini.
"Saya pasti Tsitsipas bakal menikmati karier yang menakjubkan. Masa depan sukan ini memiliki masa depan apabila saya mengundur diri."
BACA: Terbuka Australia: Federer terus hidupkan peluang buru kejayaan ke-20
#bakat baru #bersara #Dubai #Grand Slam #Jelajah ATP #ke-100 #Roger Federer #Stefanos Tsitsipas #Switzerland #tenis