ANKARA: Bintang Perancis Kylian Mbappe kini memburu gelaran juara Piala Dunia FIFA kali kedua dalam perlawanan akhir menentang Argentina pada Ahad selepas pasukannya menggondol trofi pada kejohanan 2018, lapor Agensi Anadolu.

Mbappe ialah pemain terbaik skuad Piala Dunia Perancis pada 2018 -- sebuah pasukan yang menampilkan bintang terkemuka seperti Paul Pogba, Alexandre Lacazette, Antoine Griezmann dan Thomas Lemar.

Beliau menjaringkan gol Piala Dunia pertamanya pada 21 Jun 2018 ketika perlawanan peringkat kumpulan ke atas Peru (1-0), sekali gus menjadikannya penjaring termuda Perancis pada usia 19 tahun.

Mbappe terus menyinar dan menjaringkan gol pertamanya pada kejohanan 2022 dalam perlawanan peringkat Kumpulan A menentang Australia, yang berakhir dengan kemenangan 4-1 bagi Perancis.

Mbappe meledakkan lima gol menerusi empat penampilan di Qatar setakat ini, berkongsi penghormatan dengan lawannya, Lionel Messi selaku penjaring terbanyak.

Jika Perancis memenangi kejuaraan 2022, ia akan menjadi negara ketiga merangkul kejuaraan Piala Dunia kali kedua berturut-turut, selepas Itali dan Brazil.

Itali memenangi kejohanan Piala Dunia pada 1934 dan 1938, manakala Brazil merangkul kejuaraan pada 1958 dan 1962.

-- BERNAMA