KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu mengisytiharkan 11 September depan sebagai cuti peristiwa susulan  kejayaan pasukan bola sepak Terengganu FC melangkah ke perlawanan akhir Piala FA 2022 pada 10 September.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata langkah yang dilakukan itu bagi memberi  keselesaan perjalanan pulang dan memastikan penyokong Terengganu tidak terburu-buru di atas jalan raya.

Jelasnya, dengan itu mereka dapat menyusun atur masa perjalanan pulang dengan baik tanpa perlu tergesa-gesa kerana ruang masa yang ada masih panjang.

"Jadi kita harap para penyokong Terengganu FC dapat mengutamakan keselamatan diri dan tidak terlibat dengan sebarang insiden yang tidak sepatutnya.

"Selain  itu mereka perlumenunjukkan akhlak dan adab yang baik sebagai  rakyat Terengganu ketika menyaksikan perlawanan tersebut," katanya dalam satu kenyataan.

Ahmad Samsuri berharap para pemain dapat memberikan fokus yang maksima dan mempersembahkan aksi yang terbaik sekaligus merealisasikan harapan kita untuk membawa pulang Piala FA diiringi ribuan penyokong ke Terengganu.

Terdahulu pasukan Terengganu FC mengesahankan slot ke pentas final Piala FA 2022 selepas menewaskan Selangor FC 4-2 menerusi penentuan sepakan penalti.

Dengan kemenangan itu, TFC yang dibimbing Ketua Jurulatih Nafuzi Zain akan berdepan dengan pasukan Johor Darul Ta'zim (JDT).