Final Piala Malaysia: Aura pemain ke-12 semarak semangat JDT

Astro Arena
November 25, 2022 09:35 MYT
Shahrul menjadi antara watak utama di bahagian pertahanan Harimau Selatan apabila kerap digandingkan bersama Feroz Baharudin atau Jordi Amat selepas kecederaan yang dialami Shane Lowry. - fotoBERNAMA
SOKONGAN padu pemain ke-12 Harimau Selatan mampu menjadi pemangkin semangat pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam memburu kejuaraan Piala Malaysia 2022.
Menurut pertahanan JDT, Shahrul Saad, dia meminta penyokong setia Harimau Selatan untuk turun beramai-ramai dalam perlawanan akhir malam esok bagi merealisasikan kejuaraan keramat bola sepak negara berkenaan.
Tambahnya, dia dan pemain lain sedia mengubati kekecewaan penyokong di pentas akhir musim lalu malah berasakan JDT kini sedang berada di momentum terbaik bagi menamatkan pemburuan kejuaraan itu sejak 2019.
“Memang rasa sangat bersyukur kerana dapat ke perlawanan akhir Piala Malaysia sekali lagi bersama JDT setelah mengalami kekecewaan musim lalu.
“Kepada penyokong pasukan Johor, diharapkan boleh datang beramai-ramai semasa perlawanan akhir kerana kami semua memerlukan sokongan anda.
“Kami akan cuba ubati kekecewaan mereka setelah tewas (dalam final) sebelum ini dan diharapkan rezeki ada untuk JDT pada musim ini,” katanya.
Shahrul menjadi antara watak utama di bahagian pertahanan Harimau Selatan apabila kerap digandingkan bersama Feroz Baharudin atau Jordi Amat selepas kecederaan yang dialami Shane Lowry.
JDT akan berdepan Selangor FC dalam perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil malam esok.
Jika berjaya menjulang trofi kali ini, ia bakal menjadi gelaran kedua peribadi buat pemain berusia 29 tahun itu selepas memenanginya bersama Perak musim 2018.
#Harimau Selatan #Piala Malaysia 2022 #Shahrul Saad #Stadium Nasional Bukit Jalil