Gol ke-100 Sterling beri tiga mata buat Man City

Astro Arena
Disember 12, 2021 00:44 MYT
Aksi Raheem Sterling selepas menjaringkan gol pertama pasukannya menerusi sepakan penalti ketika perlawanan EPL antara Manchester City dan Wolverhampton Wanderers di Stadium Etihad, Manchester, England, 11 Dis 2021. (Foto AP)
SEPAKAN penalti yang disempurnakan Raheem Sterling membenarkan Manchester City melakar kemenangan keenam berturut-turut dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan memastikan juara bertahan itu kekal di puncak apabila mengatasi Wolves 1-0.
City ke puncak liga buat pertama kali musim ini minggu lalu dan menggunakan kelebihan tersebut dalam memastikan mereka sekali lagi meraih kemenangan di Stadium Etihad.
Skuad kendalian Pep Guardiola diberikan jalan mudah apabila Raul Jimenez dilayangkan kad merah dalam masa kecederaan separuh masa pertama atas dua kekasaran yang dilakukan dalam tempoh 31 saat.
Wolves sekali lagi berdepan kesukaran apabila pengadil perlawanan, Jonathan Moss, memutuskan bahawa hantaran silang Bernardo Silva terkena lengan Joao Moutinho, memberikan Sterling peluang untuk menjaringkan gol yang ke-100 dalam aksi Liga Perdana Inggeris menerusi sepakan penalti.
#Manchester City #Raheem Sterling #EPL #Wolverhampton Wanderers