ZLATAN Ibrahimovic menyamakan dirinya dengan minuman wain yang mahal yang akan menjadi lebih bernilai apabila semakin dimamah usia.

Dakwaan bekas penyerang antarabangsa Sweden itu sukar dinafikan apatah lagi selepas melakar rekod selaku pemain paling tua meledak 15 gol dalam Liga Perdana Inggeris, pada usia 35 tahun 125 hari.

Dia membantu Manchester United melakar kemenangan 3-0 ke atas Leicester City malam tadi dengan gol kedua pada minit ke-44 selepas Henrikh Mkhitaryan membuka tirai jaringan dua minit sebelum itu.

Juan Mata melengkapkan gol ketiga The Red Devils beberapa minit selepas babak kedua bermula.

Ibrahimovic lebih berusia daripada Teddy Sheringham ketika pemain itu melakar jumlah sama dalam kempen 2000-01.

Bagaimanapun, dengan liga masih berbaki 14 perlawanan musim ini, Ibrahimovic masih memiliki banyak peluang untuk menambah koleksi jaringannya musim ini.