KUALA LUMPUR: Tindakan gopoh barisan pertahanan skuad bola sepak kebangsaan mengundang padah apabila tewas 4-0 kepada Jordan dalam aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Amman, Jordan malam tadi.

Penyerang kelab Al-Jazeera Ali Olwan menjadi duri dalam daging buat skuad Harimau Malaya apabila meledak hatrik untuk membantu pasukan di ranking ke-93 dunia itu melebar rekod tanpa kalah pada lima perlawanan selepas seri tanpa jaringan dalam perlawanan pertama berdepan Malaysia pada 1988.

Skuad bimbingan Tan Cheng Hoe beraksi dengan baik pada 30 minit pertama perlawanan apabila berjaya mematahkan serangan tuan rumah yang dilihat lebih menguasai perlawanan.

Namun, situasi kucar kacir skuad negara mengundang padah apabila gawang Mohd Khairulazhan Mohd Khalid dibolosi pada minit ke-34 hasil tolakan mudah Ali yang menerima hantaran cantik Ehsan Hadad dari sebelah kanan padang.

Masalah komunikasi berlaku antara kapten Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak dan Mohd Khairulazhan yang gagal membaca bola hasil tandukan dari tengah padang oleh pemain Jordan mengakibatkan bola singgah di kaki Odai Al-Saify, yang dengan tenang menguis masuk gol kedua tuan rumah pada minit ke-42.

Tuan rumah seperti mendapat suntikan moral ketika waktu rehat, kembali garang di babak kedua perlawanan dengan menghasilkan dua gol dalam masa dua minit menjadikan kedudukan 4-0.

 
Sumber Facebook FAMalaysiaOfficial

Tandukan ke belakang oleh pertahanan Kuala Lumpur City FC, Muhammad Irfan Zakaria disambar oleh Ali untuk gol kedua peribadinya pada minit ke-47 sebelum melengkapkan kemenangan skuad bimbingan Adnan Hamad itu apabila mencipta hatrik pada minit ke-49 selepas menerima lorongan cantik oleh Mousa Suleiman.

Biarpun menunjukkan aksi positif dengan melancarkan serangan ke kubu tuan rumah namun pasukan kebangsaan tidak berupaya untuk setidak-tidaknya menjaringkan gol sagu hati dan kedudukan 4-0 itu kekal hingga wisel penamat ditiup pengadil perlawanan.

Malaysia yang menduduki ranking ke-154 dunia, akan menamatkan aksi perlawanan persahabatan di Jordan berdepan Uzbekistan (ke-84 dunia) di Stadium Antarabangsa Amman, Sabtu ini (9 Okt).

-- BERNAMA