KEHILANGAN beberapa tonggak utama menyebabkan Perak FC gagal memberi saingan kepada Sri Pahang FC yang membawa kekalahan 0-3 di Stadium Perak, di sini pada malam Khamis.

Ketua jurulatih Perak FC, Datuk Lim Teong Kim mengakui persembahan anak buahnya tidak sebaik ketika perlawanan menentang pasukan sama pada saingan Piala FA lalu.

Beliau tidak mempunyai banyak pilihan selepas hukuman penggantungan dan kecederaan dialami beberapa pemainnya.

"Kenapa permainan kita tidak berapa baik kerana tonggak utama kita tidak bermain. Jangan lupa bahawa ketua pasukan (Hafizal Muhamad) kita tak ada di sana dan Sunday (Afolabi) tak ada di sana.

"Ini bukan satu alasan tetapi ini satu kenyataan walaupun pemain gantian itu bermain sebaik yang boleh, tetapi pemain Sri Pahang mempunyai kualiti lebih baik," katanya kepada pemberita selepas perlawanan Liga Super antara Perak FC dan Sri Pahang FC pada malam Khamis.

Sementara itu, pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad mengakui lawan mereka tidak seagresif ketika perlawanan Piala FA lalu.

Katanya, kesempatan itu diambil untuk skuad Tok Gajah itu mengasak seterusnya memenangi perlawanan.

Beliau turut mengakui terpaksa mengambil risiko menurunkan pemain-pemain yang masih belum cergas sepenuhnya dalam perlawanan tersebut.

Bagaimanapun risiko yang diambil nyata berbaloi apabila berjaya mencuri tiga mata di tempat lawan. - Sinar Harian