KUALA LUMPUR: Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) mewajibkan kesemua pemain dalam Piala Tun Abdul Razak 2021 dan Liga Hoki Remaja Malaysia (MJHL) 2021 melengkapkan dua dos vaksin untuk bermain dalam dua kejohanan domestik itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan KHM Datuk Seri Dr Anil Jeet Singh berkata, syarat itu merupakan sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi penganjuran kedua-dua kejohanan berkenaan dalam membendung penularan COVID-19 ketika ini.

"Kesemua pemain perlu menerima dua dos vaksin, jika tidak, anda tidak akan dibenarkan menyertai kejohanan. Kita akan minta mereka tanda tangan untuk pastikan bahawa semua pemain telah melengkapkan dua dos vaksin," katanya dalam sidang media dalam talian hari ini.

Piala Tun Abdul Razak 2021 dijadual bermula pada 10 hingga 20 November ini, manakala MJHL 2021 bakal berlangsung bermula 26 November hingga 2 Januari 2022.

Sementara itu beliau berkata terdapat sedikit perubahan bagi penganjuran MJHL 2021 dengan kejohanan itu akan dilangsungkan bagi kategori lelaki sahaja.

Bagaimanapun Anil Jeet berkata, pihaknya mempunyai perancangan untuk menganjurkan kejohanan bagi kategori wanita pada awal tahun depan.

Menurutnya format yang digunakan pada edisi MJHL sebelum ini iaitu pecahan dua divisyen akan dikekalkan dengan divisyen satu akan dipertandingkan secara liga satu pusingan melibatkan 10 pasukan, manakala bagi divisyen dua pula, kumpulan dipecahkan mengikut penyertaan diterima KHM.

Saingan Piala Tun Abdul Razak 2021 pula akan menyaksikan satu divisyen dipertandingkan bagi kategori lelaki merangkumi empat kumpulan manakala kategori wanita juga dengan satu divisyen melibatkan tiga kumpulan.

Sementara itu beliau berkata pendaftaran bagi MJHL 2021 yang dibuka sejak Selasa lepas (7 Sept) akan ditutup pada 21 Sept ini manakala permohonan pasukan bagi menyertai saingan Piala Tun Abdul Razak 2021 pula akan dibuka pada 17 hingga 30 September ini.

Kedua-dua kejohanan berkenaan akan dilangsungkan di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil di sini.

Saingan MJHL tahun lepas terpaksa dibatalkan berikutan pandemik COVID-19, namun Piala Tun Abdul Razak 2020 dilangsungkan dengan jayanya tanpa ada sebarang jangkitan wabak berkenaan dalam kalangan pemain dan pegawai terlibat.

Pasukan Perak dan Pahang masing-masing muncul juara bagi kategori lelaki dan wanita kejohanan hoki Piala Tun Abdul Razak 2020.

-- BERNAMA