KUALA LUMPUR: Skuad hoki lelaki kebangsaan memulakan aksi pembukaan Kejohanan Piala Asia 2022 di Jakarta, Indonesia dengan penuh bergaya selepas membelasah Oman 7-0, hari ini.

Dalam perlawanan di Stadium Hoki Gelora Bung Karno itu, pemain pertahanan Muhammad Razie Abd Rahim muncul wira, apabila mencetak hatrik sekali gus membantu mengutip tiga mata pertama buat pasukan negara yang diletakkan dalam Kumpulan B.

Babak pertama perlawanan skuad bimbingan A Arul Selvaraj membuka jaringan hasil pukulan sudut penalti Muhammad Razie pada minit keenam.

Muhammad Razie terus mengukir kegembiraan skuad negara selepas menjaringkan gol kedua pasukan pada minit ke-13 hasil pukulan sudut penalti.

Babak kedua perlawanan, pasukan Oman dibimbing Lim Chiow Chuan terus dihukum selepas Muhammad Razie menjaringkan gol ketiga juga hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-19.

Pemain tengah Faizal Saari kemudian memberi keselesaan buat pasukan selepas menjaringkan gol padang pada minit ke-23 menjadikan kedudukan 4-0 meninggalkan Oman.

Pada minit ke-34, giliran Muhammad Shahril Saabah menambah gol buat negara menerusi jaringan padang.

Skuad negara dalam masa sama menambah dua lagi gol menerusi Faiz Helmi Jali pada minit ke-40 dan Mohamad Ashran Hamsani pada minit ke-48 masing-masing hasil gol padang bagi menoktahkan kemenangan buat negara.

Malaysia akan meneruskan cabaran esok berdepan pasukan Korea Selatan esok, sebelum bertemu Bangladesh pada Khamis ini dalam saingan Kumpulan B.

Sementara itu pada sidang media, Arul memuji anak buahnya atas kejayaan hari ini.

"Saya rasa ia jadi seperti yang kita mahukan daripada perlawanan ini," katanya.

Beliau berkata ia bukanlah suatu yang mudah untuk bermain dalam satu kejohanan besar selepas tidak beraksi lebih daripada tiga tahun, tetapi percaya pemainnya akan memperbaikinya dari satu perlawanan ke satu perlawanan.

"Tugas kami ialah hadapi satu perlawanan pada satu masa dan kami mahu menang setiap perlawanan yang kami main. Malah, para permain menghabiskan banyak masa menonton rakaman video," katanya.

Mengenai perlawanan selepas ini bertemu Korea Selatan, beliau berkata pasukan itu mempunyai barisan kejurulatihan yang bagus dan beberapa pemain utama.

"Kami berpeluang untuk menyaksikan mereka bermain. Ia satu permulan yang baik untuk kami bertemu Oman dan melihat permainan Korea Selatan, jadi kami ada maklumat berkaitan. Esok adalah suatu perlawanan baharu, hari ini telahpun berlalu," katanya.

-- BERNAMA