MALAYSIA 5 JEPUN 1

Malaysia mengesahkan tempat ke separuh akhir Kejohanan Hoki Piala Negara-Negara selepas membelasah Jepun 5-1 dalam aksi terakhir Kumpulan B di Potchefstroom, Afrika Selatan sebentar tadi.

Kemenangan itu menyaksikan pasukan bimbingan Arul Selvaraj berkenaan muncul naib juara Kumpulan B dengan enam mata dan dibezakan tiga mata di belakang juara kumpulan, Korea Selatan.

Sedar hanya kemenangan dapat memastikan mereka memintas Jepun, skuad negara memperoleh jaringan seawal minit kedua menerusi gol padang Najib Hassan tetapi kelebihan itu hanya bertahan selama tiga minit sebelum Kosei Kawabe menyamakan kedudukan buat Jepun.

The Speedy Tigers kemudian menggandakan kelebihan dalam suku kedua, di mana Aminuddin Zain bijak menyempurnakan pukulan sudut penalti untuk Malaysia berkelebihan satu gol sebelum ke bilik persalinan.

Skuad negara jelas mempamerkan dominasi dalam suku ketiga untuk menambah tiga lagi gol padang, masing-masing dijaringkan Faizal Saari (m-34), Najib (m-39) dam Ashran Hamsani (m-40).

Malaysia seterusnya akan bertemu juara Kumpulan A -- sama ada Afrika Selatan atau Ireland -- bagi penentuan ke final pada Sabtu ini. - Stadium Astro