INDIA, pasukan yang meraih tempat dalam Sukan Olimpik ternyata terlalu kuat untuk skuad hoki negara apabila dengan mudah mencatat kemenangan 6-1 dalam kejohanan hoki Piala Sultan Azlan Shah, malam tadi.

Kubu The Speedy Tigers ditembusi seawal minit ketiga menerusi jaringan Chandanda Thimmaiah sebelum Harjeet Singh menggandakan jaringan empat minit kemudian.

Ramandeep Singh dan Danish Mujtaba kemudian masing-masing menambah derita anak buah Stephen Van Huizen menerusi jaringan pukulan sudut penalti pada minit ke-25 dan 27.

Ramandeep sekali lagi mencatat nama selaku penjaring pada minit ke-39.

Gol sagu hati skuad negara hadir pada minit ke-46 melalui Shahril Saabah, namun asakan India tidak berhenti di situ apabila Talwinder Singh melengkapkan hari malang buat skuad negara menerusi gol keenam pada minit ke-50.

Keputusan ini menyaksikan Malaysia menduduki tangga keempat dalam carta liga dan bakal membuat perhitungan kali kedua berdepan New Zealand bagi perebutan tempat ketiga dan keempat petang esok.

India menduduki tangga kedua, sekali gus mara ke final berdepan Australia.