KUALA LUMPUR: Paul Revington memutuskan untuk melepaskan jawatanya sebagai Pengarah Pembangunan Teknikal dan Skuad Projek Khas Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) setahun sebelum kontraknya tamat.

Ia berikutan pelantikan rakyat Afrika Selatan itu sebagai Ketua Jurulatih pasukan lelaki England dan Great Britain, seperti diumumkan Hoki Great Britain menerusi satu kenyataan, hari ini.

"Saya amat gembira sepanjang bekerja dengan KHM dan ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak atas kerja keras, sokongan dan kemurahan hati mereka.

"Ini adalah peluang yang hebat untuk saya dan kini menjadi tugas pasukan kejurulatihan kita untuk mengikut jejak langkah beberapa ketua jurulatih yang cemerlang dan memimpin satu lagi kumpulan atlet berbakat dalam perjalanan yang penuh aksi dengan peningkatan berterusan, kerja keras dan memberi inspirasi kepada negara melalui prestasi elit yang konsisten," kata Revington dalam kenyataan itu.

Revington, bekas Jurulatih Terbaik Dunia Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH), sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Jurulatih Pasukan Lelaki negara dari 2012-2014, selain berkhidmat sebagai Ketua Jurulatih Program Pembangunan Elit Skuad Wanita Great Britain.

Selain itu, beliau juga sebagai Penolong Jurulatih England dan pasukan wanita kanan Great Britain.

Revington kemudian kembali ke Malaysia pada Oktober 2020 untuk mengikat kontrak selama tiga tahun.



-- BERNAMA