KUALA LUMPUR: Skuad Projek Khas Wanita Kebangsaan tewas 1-2 kepada Ireland pada aksi klasifikasi kedudukan kesembilan hingga ke-12 Kejohanan Piala Dunia Hoki Remaja Wanita di Potchefstroom, Afrika Selatan, yang berlangsung tengah malam semalam.

Pada pertemuan itu, jaringan pukulan sudut penalti Caoimhe Perdue beberapa saat sebelum perlawanan berakhir telah meragut impian pasukan negara untuk sekurang-kurangnya mengheret permainan sehingga penentuan pukulan penalti.

Ireland sebelum itu berjaya membuka tirai jaringan pada minit ke-14 hasil gol padang Rachel Kelly sebelum penyerang negara, Nuramirah Shakirah Zulkifli menyamakan kedudukan juga menerusi jaringan padang pada minit ke-47.

Skuad bimbingan ketua jurulatih Nasihin Nubli Ibrahim itu akan berdepan Zimbabwe Isnin ini bagi perlawanan merebut tempat ke-11 dan ke-12.

"Pemain telah memberikan tentangan yang terbaik kepada pasukan Ireland sehingga wisel penamat dan saya berbangga dengan apa yang telah ditunjukkan oleh pemain-pemain saya.

"Kini kami mengalihkan tumpuan dan persediaan kepada perlawanan seterusnya. Pemain perlu untuk bangkit sebaik mungkin bertemu Zimbabwe bagi perlawanan tempat ke-11 dan ke-12," kata Nasihin selepas tamat perlawanan.

Terdahulu, pasukan negara yang tersingkir daripada saingan kumpulan selepas merekodkan satu keputusan seri dan dua tewas, berjaya meraih kemenangan sulung dalam kempen kejohanan itu dengan mengalahkan Uruguay 2-1 pada perlawanan penentuan tempat kesembilan hingga 16.

-- BERNAMA