ERIC Abidal merayu kepada Hayet agar memaafkannya selepas isterinya itu menuntut cerai apabila mendakwa bekas bintang Barcelona dan Perancis itu mengaku pernah menjalinkan hubungan sulit dengan Kheira Hamraoui.

Hamraoui merupakan pemain bola sepak Paris Saint-Germain (PSG) yang dibelasah dengan palang besi oleh penyerang bertopeng di luar rumahnya pada 4 November lalu.

Siasatan polis terhadap serangan itu dilaporkan telah membawa kepada penemuan kaitan skandal mereka dalam bentuk cip telefon atas nama Abidal yang digunakan oleh Hamraoui.

Menurut kenyataan yang dirujuk secara meluas daripada peguam Hayet Abidal, Nicolas Cellupica, yang didedahkan kepada agensi berita AFP, penemuan cip telefon itu mendorong bekas pemain bola sepak tersebut mengakui dia telah tersilap langkah.

Hamraoui merupakan bekas tonggak wanita Barcelona ketika Abidal menjadi pengarah bola sepak di kelab Sepanyol itu dari 2018 hingga 2020 sebelum pemain tengah itu berpindah ke PSG pada Julai tahun ini.

Abidal menulis di Instagram: "Hayet Abidal maafkan saya. Apa pun keputusan anda, di kaca mata saya anda kekal sebagai wanita dalam hidup saya, terutama ibu kepada anak-anak kami yang menawan.

"Saya berhak mendapat penghinaan ini walaupun ia akan membunuh saya hidup-hidup. Alhamdulillah, Insya-Allah suatu hari nanti awak akan maafkan saya."

Hamraoui semakin pulih daripada serangan itu yang menyaksikan rakan sepasukannya di PSG, Aminata Diallo, dianggap sebagai suspek.

Diallo telah dibebaskan tanpa sebarang pertuduhan apabila bersungguh-sungguh menegaskan dia tidak bersalah atas sebarang salah laku ketika siasatan polis diteruskan.

Hamraoui belum membuat kenyataan umum mengenai dakwaan dia dan Abidal mempunyai hubungan sulit.